View: 2399|Reply: 0
|
[Johor]
Bunuh rakan, pengedar dadah ke tali gantung
[Copy link]
|
|
TERTUDUH (tiga kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru: Seorang pengedar dadah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang tokan dadah, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhi hukuman itu ke atas tertuduh, Abu Bakar Mahamad, 44, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah telah menimbangkan mitigasi peringanan dan hujahan pemberatan oleh Timbalan Pendakwa Raya, mahkamah telah mengambil kira tindakan tertuduh secara keseluruhannya bertindak tanpa keinsafan melakukan pembunuhan ke atas mangsa.
"Mahkamah dengan ini menjatuhi hukuman gantung di leher tertuduh sehingga mati pada tarikh, masa dan tempat yang akan ditetapkan kelak.
"Semua eksibit melainkan dokumen diserahkan kepada polis untuk simpanan sehingga proses rayuan, jika ada, diselesaikan," katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Saffat Taliman, yang berusia 36 tahun ketika kejadian, antara awal Mac hingga 9 Ogos 2016 di tepi jalan besar Jalan Seelong Senai-Kota Tinggi, Kulai.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali mengemukakan 14 saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan, manakala tertuduh diwakili peguam, Anita Vijaya Rajah.
Mengikut fakta kes, tertuduh mencari si mati (mangsa) di sebuah Felda di kawasan Kota Tinggi sebelum membawanya dengan cara menyumbatnya di dalam tempat letak barang, sebuah kereta Mercedes ke sebuah rumah di Taman Austin di sini.
Difahamkan, ketika di rumah berkenaan, mangsa berada dalam keadaan lembik kerana dipukul menggunakan tangan, kaki dan kayu besbol oleh tertuduh selain mulutnya disumbat dengan dadah jenis syabu, shampoo, tawas dan air bateri.
Tertuduh dikatakan bertindak membogelkan mangsa dan meletakkannya di atas kerusi dan diangkat masuk ke dalam tandas sebelum kemaluan mangsa disimbah dengan petrol dan dibakar.
Mangsa kemudian dibiarkan sendirian dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan sehari kemudian, tertuduh menyuruh rakannya untuk membuang mayat mangsa dengan cara dibalut dengan toto dan diikat menggunakan dawai punai.
Mayat mangsa kemudian dimasukkan ke dalam almari lama sebelum dibuang di tepi jalan besar Jalan Seelong Senai-Kota Tinggi, Kulai
Mayat mangsa dijumpai orang awam pada 9 Ogos 2016.
Terdahulu, pada 2021, Mahkamah Tinggi di sini, pernah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan membunuh Md Az'rai Saim, yang berusia 38 tahun ketika kejadian pada 2016.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... dah-ke-tali-gantung |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|