Edited by JoyahMengayah at 10-3-2024 03:53 AM
BANYAK perkara yang berlaku pada minggu pertama Ramadan kali ini. Paling mencuri tumpuan pastinya perihal di bazar Ramadan yang menyajikan seribu satu kisah.
Malah, di pelbagai platform media sosial, kisah-kisah mengenai bazar Ramadan paling kerap dibaca. Semua seronok berkongsi pengalaman. Ada kisah positif dan menggembirakan, tetapi banyak juga cerita yang menyedihkan.
Sisi positif pastinya mengenai rasa teruja orang ramai. Dapat memilih pelbagai jenis juadah yang mungkin hanya boleh diperoleh pada bulan Ramadan.
Aneka jenis kuih-muih dan warna-warni perisa air yang dijual sudah cukup menggambarkan keseronokan berbelanja di bazar.
Tambahan pula, harga yang ditawarkan oleh para peniaga cukup berpatutan dan masuk akal.
Baik pengunjung dan peniaga, kedua-duanya pulang dengan hati gembira. Satu pihak dapat menikmati juadah terbaik dan lazat, satu lagi pihak dapat keberkatan rezeki. Semua bergembira.
Bagaimanapun, di sebalik perkongsian rasa gembira itu, ada sebenarnya sisi negatif lain yang kerap didengari dari bazar Ramadan.
Seperti sudah menjadi tradisi, penipuan dan hilangnya rasa jujur ketika berniaga terus berlaku sehingga mencacatkan kesucian bulan Ramadan.
Paling menyedihkan, niat untuk mencari rezeki akhirnya menjadi asbab kepada dosa-dosa kecil.
Mangsa utama adalah pengunjung yang kelaparan. Mereka sanggup bersesak-sesak untuk memilih juadah terbaik, namun kurang bernasib baik.
Mereka menjadi mangsa kepada makanan basi, makanan hangus, tidak masak dan berbau. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang kena scam dengan harga yang tidak masuk akal.
Maka, detik berbuka puasa yang sepatutnya menjadi detik paling menggembirakan bertukar menjadi mimpi ngeri hanya dalam sekelip mata. Rasa geram membuak-buak dan hilangnya selera makan.
Sebagai tanda protes, luahan makian dan penyesalan dikongsi di media sosial. Tidak cukup dengan itu, premis perniagaan yang berperangai ‘scammer’ turut didedahkan menerusi perkongsian gambar.
Natijahnya, peniaga malang itu diboikot dan tindakan turut diambil oleh pihak berkuasa. Lebih parah lagi, rezeki mereka pada bulan Ramadan kali ini tersekat hanya kerana kecuaian dan ketamakan.
Di akhirnya, bangsa Melayu kita yang rugi. Pengunjung hilang keyakinan dan peniaga pula sudah pasti hilang sumber pendapatan.
Kepada para pengunjung, jadilah pengguna yang lebih bijak dan berhati-hati agar anda tidak tertipu.
Dan kepada para peniaga, tolonglah dan jangan sesekali scam pengunjung. Mereka datang ke bazar bukan semata-mata untuk mencari juadah berbuka puasa, tetapi mereka sebenarnya membawa rezeki buat keluarga kalian.
|