|
MUHD Khairil (tengah) bersama tiga anak saudaranya. FOTO Ihsan Muhd Khairil Mohd Yusri
Segamat: "Assalamualaikum semua... Just (cuma) nak tanya, korang (awak) ada tak baju Melayu atau baju kurung budak dah (yang sudah) tak nak guna lagi atau nak buang.
"Kalau ada Danny nak boleh? Danny nak bagi kat (pada) anak (saudara) Danny. Maaflah Danny bukan meminta-minta, cuma Danny tanya je dulu."
Mesej ringkas Muhd Khairil Mohd Yusri, 31, atau mesra disapa Danny itu dikongsi di TikTok, baru-baru ini dan meruntun hati warga media sosial yang tersentuh dengan permintaan itu.
Malah ramai pengguna TikTok yang memberi komen mahu membantu lelaki itu dan memastikan anak saudara serta keluarganya dapat merasai kemeriahan Aidilfitri.
Berkongsi kisah di sebalik perkongsian itu, Danny yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, keadaan memaksa dia membuat permintaan itu, bukannya untuk meraih simpati.
Katanya, dia mahu menggembirakan tiga anak saudaranya, Nur Khaiza, 14; Nur Hidayah, 12; dan Muhd Adam Aqil, 6, supaya dapat memakai baju raya 'baharu' seperti orang lain.
"Setiap tahun, saya akan belikan baju raya untuk anak buah. Jika emak sudah belikan, saya akan beri mereka duit atau kelengkapan.
"Cuma, tahun ini ada masalah kewangan...kami diuji dengan musibah apabila rumah ditenggelami banjir manakala saya pula baru dua bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Jadi duit yang ada tidak cukup kerana banyak digunakan untuk beli kelengkapan mereka masuk sekolah," katanya yang dihubungi Harian Metro.
MESEJ ringkas Danny dikongsi di TikTok. FOTO Ihsan Muhd Khairil Mohd Yusri
Menurutnya, disebabkan buntu memikirkan bagaimana hendak mendapat wang bagi membeli baju raya itu menyebabkan dia membuat video berkenaan di TikTok.
"Harapan saya ada yang nak sumbang baju raya walaupun terpakai," katanya yang rapat dengan anak saudaranya kerana mereka tidak merasa kasih sayang bapa.
Danny mengakui dia malu untuk memuat naik video itu kerana bimbang ada yang menganggapnya sengaja mencari simpati.
"Seumur hidup, saya tak pernah minta ihsan orang ramai...itulah kali pertama. Alhamdulillah, banyak komen positif diterima, malah ramai DM (hantar kiriman mesej) kata nak bantu, sudah ada yang kirimkan baju raya cuma belum sampai lagi," katanya.
Danny berkata, dia bersyukur dan terharu apabila hantaran itu menyebabkan ramai orang memberi sumbangan termasuk wang tunai.
"Terima kasih kepada semua yang membantu, saya tak dapat balas, tetapi doa apa dibantu hari ini akan dapat ganjarannya nanti," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ak-dah-tak-nak-guna |
|