View: 253|Reply: 0
|
[Johor]
'Tolong, lepas ini saya tak buat lagi...'
[Copy link]
|
|
PENGEMIS warga Myanmar menangis selepas dicekup bersama dua anaknya dalam Op Bersepadu Pengemis Pendatang Tanpa Izin. FOTO Izz Laily Hussein.
Kota Tinggi : Seorang wanita warga Myanmar menangis apabila dia dan dua anaknya yang berusia tiga hingga lima tahun dicekup dalam Op Bersepadu Pengemis Pendatang Tanpa Izin yang dijalankan di sekitar bandar daerah ini, hari ini.
Wanita berusia 40-an itu mendakwa dia sebelum ini bekerja di kedai makan, namun kini terpaksa menjual tisu di Jalan Niaga 1 di sini, untuk menyara hidupnya bersama anak-anaknya.
Dia yang juga pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) tamat tempoh kemudian merayu dilepaskan dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, wanita berkenaan antara enam individu yang ditahan dalam operasi terbabit.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati ada antara pengemis di kawasan itu datang dari luar negara dan terdiri daripada mualaf.
"Hasil tinjauan di bandar Kota Tinggi hari ini, kita berjaya menahan tiga lelaki, seorang wanita Myanmar dan dua kanak-kanak Myanmar yang berada di kawasan bank.
"Mereka didapati meminta sedekah tanpa ada kebenaran pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
"Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan selebihnya diserahkan kepada JKM," katanya ketika sidang media yang dijalankan selepas operasi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Operasi IPD Kota Tinggi dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bermula jam 2.30 petang sehingga 4.30 petang tadi.
Menurutnya, sehingga kini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan pengutip derma yang mensasarkan kawasan orang ramai seperti bazar Ramadan dan pasar malam .
"Kepada orang ramai, kita nasihatkan supaya salurkan derma kepada saluran yang disahkan dan diperakui MAINJ dan jabatan-jabatan lain terutama majlis zakat dan lain-lain," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -saya-tak-buat-lagi |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|