|
GAMBAR hiasan
Johor Bahru : Kes demam denggi di negeri Johor terus menunjukkan tren membimbangkan apabila kumulatif kes pada Minggu Epid ke 15/2023 mencatat sebanyak 2,229 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon berkata ia mencatatkan peningkatan 496 peratus kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 34 kes.
Katanya daripada jumlah kes yang dilaporkan, 784 kes dilaporkan dari lokaliti wabak dan bakinya 1,445 kes dari lokaliti bukan wabak.
"Pada Minggu Epid 15/2023, sebanyak 156 kes demam denggi dilaporkan. Bilangan ini menurun sebanyak enam peratus berbanding dengan minggu sebelumnya iaitu Minggu Epid 14/2023 (166 kes).
"Johor Bahru menjadi penyumbang tertinggi kes denggi iaitu sebanyak 104 kes, diikuti daerah Kulai (20), Kota Tinggi (8), Batu Pahat (7), Segamat (6) dan Kluang (3).
"Manakala Muar, Mersing, Pontian dan Tangkak masing-masing mencatat dua kes denggi, "katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tian Soon berkata, daerah yang melaporkan peningkatan kes pada Minggu Epid ini ialah Batu Pahat, Segamat dan Tangkak.
Katanya sebanyak 20 lokaliti wabak baru dilaporkan di Johor iaitu di daerah Johor Bahru (19 lokaliti) dan Kota Tinggi (1).
"Jumlah terkumpul lokaliti wabak di Negeri Johor pada Tahun 2023 pada sehingga kini adalah 261 berbanding 29 dalam tempoh yang sama pada lalu, ia mencatat peningkatan sebanyak 800 peratus.
"Tiada kematian dilaporkan pada Minggu Epid ini. Bagaimanapun kumulatif kes kematian denggi sehingga Minggu Epid ini adalah sebanyak dua kes berbanding kosong kes pada tahun lalu.
"Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan mengeluarkan sebanyak 2,132 kompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM 1.017 juta.
"Menjelang hari raya yang akan menjelma beberapa hari lagi, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung kenaikan kes denggi secara mendadak selepas musim perayaan ini, "katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... johor-membimbangkan |
|