|
SESI cerapan gerhana matahari separa turut diadakan di Balai Cerap Telok Kemang, Kompleks Baitul Hilal, Port Dickson, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
PORT DICKSON: Fenomena gerhana matahari separa tidak dapat dilihat secara jelas di Balai Cerap Telok Kemang di sini berikutan cuaca mendung dan hujan.
Penolong Pegawai Kanan, Unit Kompleks Baitul Hilal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Muzamir Mazlan berkata, sempena fenomena tersebut hari ini, pihaknya melakukan cerapan bermula pukul 11 pagi dan tamat pada pukul 1 petang tadi.
“Fenomena gerhana matahari separa tidak dapat dilihat secara jelas berikutan faktor cuaca pada kali ini. Jika mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan cuaca di daerah Port Dickson adalah berawan serta mendung dan menyukarkan untuk melihat fenomena tersebut,” katanya ketika ditemui di Balai Cerap Telok Kemang , Kompleks Baitul Hilal di sini.
Sementara itu, lebih 50 peminat astronomi termasuk ahli kariah masjid sekitar daerah ini, anggota tentera daripada Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI) Port Dickson turut hadir untuk menyaksikan fenomena berkenaan.
ORANG ramai turut tidak melepaskan peluang untuk melihat fenomena gerhana matahari separa di Kompleks Baitul Hilal, Telok Kemang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Sesi cerapan turut disertai kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan turut sama hadir untuk menyaksikan fenomena tersebut.
Hadir sama, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Amran Awaludin.
Sementara itu, bersempena fenomena berkenaan, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) turut mengadakan solat sunat gerhana berjemaah di kompleks tersebut.-UTUSAN.
https://www.utusan.com.my/berita ... as-di-port-dickson/ |
|