CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 272|Reply: 0

[Johor] 'Kami bukan sengaja tinggal di sini, kami memang tidak mampu'

[Copy link]
Post time 27-4-2023 11:48 AM | Show all posts |Read mode

SHUIB bersama isteri, Sarimah menunjukkan pondok yang dibina dengan menggunakan barangan kitar semula di tebing Sungai Masai. FOTO Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: "Kami mendirikan pondok ini menggunakan barangan kitar semula di tebing Sungai Masai selepas tidak mampu membayar sewa rumah," kata Shuib Alna, 69.

Shuib berkata, kehidupannya berubah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya empat tahun lalu hingga tidak mampu bekerja dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM500.

Menurutnya, atas faktor usia, dia juga gagal mendapat pekerjaan manakala isterinya, Sarimah Shaari, 61, menghidap darah tinggi dan selepas tinggal di pondok itu, wanita berkenaan juga hilang sumber pendapatan iaitu upah hasil kerja mengopek bawang di rumah.

Katanya, setakat ini dia dan isteri bergantung kepada bantuan JKM selain bercucuk tanam di kawasan tempat tinggal untuk mendapatkan sumber makanan.

"Saya juga menangkap ikan di Sungai Masai dengan menggunakan jaring buatan sendiri selain kami bergantung kepada air hujan, sungai serta kadang-kala bekalan air bersih daripada penduduk flat berhampiran yang bersimpati dengan kami.

"Kami bukan sengaja tinggal di sini, saya memang tidak mampu untuk membayar sewa di kawasan ini iaitu antara RM500 hingga RM600.

"Saya juga tidak mengetahui saluran bagi memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), saya bersyukur kerana isteri sanggup mengharungi keadaan serba kekurangan ini bersama dan tidak pernah merungut," katanya yang berasal dari Semporna, Sabah.

Sarimah berkata, hasil perkahwinan dengan suaminya, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang sudah berumah tangga dan tinggal di Singapura bersama suaminya.

Menurutnya, anaknya yang berusia 38 tahun tidak bekerja manakala suaminya hanya bekerja biasa.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun tinggal di pondok, dia pernah menempuhi pelbagai pengalaman yang cemas termasuk dilanda banjir, ribut, petir selain diancam reptilia berbisa.

"Selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya, suami mengalami patah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) lebih sebulan.

"Kami bersyukur kerana tidak pernah kebuluran kerana ada saja tanaman yang boleh dijadikan lauk.

"Namun ketika hujan lebat atau panas terik kami terpaksa berteduh di bawah kolong flat berhampiran, pada waktu malam kami menerangi pondok dengan cahaya lilin.

"Saya memang teringin untuk tinggal di rumah yang selesa seperti sebelum ini namun reda dan menganggap ini sebagai ujian hidup," katanya.

Sarimah berkata, dia sedih apabila mengimbas suasana Syawal pada empat tahun lalu kerana disambut dengan keadaan lebih baik di rumah.

"Syawal dulu keadaan kita elok-elok, kuih-kuih raya di depan dengan langsir dan kita duduk atas sofa.

"Sekarang ini hanya tuhan saja yang tahu keadaan kami ini tanpa bekalan elektrik dan air, namun apa pun kita terima dugaan Allah," katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun bank Sarimah, 151240304841 (Maybank) atau menghubungi mereka di talian 01136813569.

Sementara itu, jurucakap Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berkata, pihaknya sudah membuat kunjungan ke pondok pasangan warga emas itu sebelum Aidilfitri.

Menurutnya, pihaknya menyalurkan sejumlah sumbangan serta barangan keperluan bagi kegunaan pasangan berkenaan.

"Kami dalam proses bagi mendapatkan rumah bagi pasangan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -memang-tidak-mampu
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-12-2024 04:04 AM GMT+8 , Processed in 0.034213 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list