|
AZIZAH membetulkan pelitup muka anaknya ketika menghantar ke Sekolah Kebangsaan Taman Molek, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Johor Bahru: Masih tidak ramai pelajar dilihat menggunakan pelitup muka ketika sesi persekolahan dibuka semula selepas cuti Aidilfitri, hari ini.
Tinjauan di kawasan persekolahan di Taman Molek, Masai di sini, mendapati kebanyakan pelajar dilihat memilih untuk tidak memakai pelitup muka.
Namun, masih ada sebahagian pelajar dilihat sudah menggunakan semula pelitup muka di sebalik kebimbangan peningkatan semula jangkitan penyakit pernafasan termasuk Covid-19 dan influenza.
Pekerja swasta, Nurshakila Azmi, 33, berkata, dua anaknya yang belajar di Tahun Tiga dan Tahun Dua sudah mula menggunakan semula pelitup muka sebaik sesi persekolahan bermula sejak awal Mac lalu.
Katanya, ia berikutan kebimbangannya dan keluarga yang pernah dijangkiti Covid-19 dan influeza.
"Saya meminta dua anak memakai pelitup muka apabila sekolah dibuka awal Mac lalu, selepas memantau kumpulan WhatsApp kelas mereka.
"Sekurang-kurangnya lima rakan kelas anak tidak sihat dalam masa sehari membabitkan demam selesema serta sakit tekak dan ia sangat membimbangkan.
"Oleh kerana kami pernah dijangkiti Covid-19 dan influenza yang agak teruk, saya meminta anak memakai pelitup muka di sekolah.
"Namun masih ramai pelajar tidak memakai pelitup muka dengan alasan cuaca terlampau panas dan ibu bapa mereka risau anak mereka kelemasan pula. Bagaimanapun, saya membekalkan anak dengan botol air besar dan meminta mereka minum air dan menambah air di alat penapis air sekolah bagi mengelakkan badan mereka tidak cukup air," katanya ketika ditemui.
Pada 26 April lalu, Kementerian Kesihatan akan mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19, selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.
Susulan itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, bagi membincangkan perkara itu untuk mengekang penularan semula Covid-19 di sekolah.
Dalam pada itu, penjawat awam, Azizah Ahmad, 34, berkata, dia menyahut saranan Kementerian Kesihatan yang mengesyorkan pelajar mula menggunakan pelitup muka semula di sekolah.
"Pada saya pemakaian pelitup muka ini perlu diperluas semula kerana selepas raya ini kes demam, sakit tekak dan batuk selesema semakin meningkat pula.
"Jadi jika anak kita pakai pelitup muka ke sekolah dapat membantu untuk kawal wabak dan jangkitan penyakit. Pada saya memang sekolah kena terus galakkan pelajar pakai semula pelitup muka.
"Namun ia terpulang pada ibu bapa kerana kita faham budak-budak kalau pakai pelitup muka di sekolah dia rasa panas. Namun bagi saya sendiri yang bekerja di hospital, pemakaian pelitup muka ini sudah jadi satu keperluan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... r-guna-pelitup-muka |
|