|
KEBAKARAN yang membabitkan tiga buah rumah dalam kejadian di Kampung Pauh Padang Tengah, Salor, kelmarin.
Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menafikan dakwaan tular di media sosial mendakwa agensi itu berdepan masalah bekalan air ketika memadamkan kebakaran di Kampung Pauh Padang Tengah, Salor, di sini, kelmarin.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, dalam kejadian pada 12.05 tengah hari itu, pihaknya berjaya memadamkan kebakaran membabitkan tiga rumah sebanyak 80 peratus.
Menurutnya, sebaik menerima laporan, anggota bergegas ke lokasi dan mendapati api sedang marak sebelum melakukan pemadaman yang mengambil masa selama 30 minit.
"Sebanyak dua jentera dengan air mencukupi digunakan pada hari kejadian, malah sekeliling kawasan kejadian yang mana terdapat tapak sawah juga disiram air bagi mengelak api merebak ke kediaman lain.
"Kenyataan yang dimuat naik berhubung masalah air tidak benar kerana kami sentiasa bersedia dengan bekalan air walaupun ketika musim kemarau.
"Oleh itu, masyarakat diharap tidak membuat spekulasi sendiri tanpa mengetahui situasi sebenar kerana ia bukan sahaja tidak benar, malah boleh menjatuhkan reputasi agensi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam berhubung kebakaran berkenaan dengan dakwaan tiada bekalan air ketika pihak bomba tiba untuk memadam api.
Katanya, dalam kebakaran itu juga tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan tidak timbul isu kekangan air kerana pihaknya sentiasa bersedia dengan bekalan air.
"Buktinya, kebakaran tanah gambut yang berlaku di Beris Lalang, Bachok sebelum ini juga dapat diselesaikan dengan baik walaupun kita berhadapan dengan kemarau," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ika-padam-kebakaran |
|