|
TERTUDUH (tengah) yang menembak rakan disangka kijang dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Jempol: Lelaki yang menembak rakannya yang disangka kijang di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu pada 24 April lalu dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini hari ini.
Hukuman diputuskan Majistret Norshazwani Ishak memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Amran Abd Razak, 51, mengaku salah terhadap pertuduhan.
Tertuduh turut didenda RM2,000 dan boleh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Amran didakwa cuai yang menyebabkan kematian lelaki warga emas berusia 62 tahun di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu pada 3 pagi, 24 April lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 13 butir peluru hidup serta tiga butir kelongsong peluru jenis 12 bore pelbagai warna.
Kesalahan dilakukan di kawasan semak di tepi Jalan Muka Sauk, Kuala Klawang, pada 6.30 petang, 26 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -dipenjara-12-bulan |
|