|
PASUKAN penyelamat dilihat sedang memeriksa sebuah kereta yang ditenggelami air. FOTO AFP
Paris: Grand Prix Formula Satu (F1) Emilia Romagna yang sepatutnya berlangsung di Imola hujung minggu ini dibatalkan kerana sukar untuk menganjurkannya dengan selamat berikutan banjir besar, kata penganjur.
Lima orang maut selepas hujan lebat menyebabkan banjir di seluruh wilayah Emilia Romagna dekat utara Itali.
Di Imola, sungai Santerno yang bersempadan dengan trek, dinaiki air dan penganjur perlumbaan telah meminta wartawan dan kakitangan pasukan untuk tidak pergi ke litar, hari ini.
F1 dalam satu kenyataan berkata, selepas perbincangan di peringkat tertinggi, keputusan diambil adalah untuk tidak meneruskan perlumbaan hujung minggu ini di Imola.
"Keputusan itu diambil kerana tidak mungkin penganjur dapat menganjurkan perlumbaan itu dengan selamat untuk peminat, pasukan dan kakitangan kami," katanya.
Agensi perlindungan awam berkata 14 sungai sudah mengalami tebing pecah di seluruh wilayah antara semalam dan hari ini, manakala 23 bandar sudah dinaiki air.
Datuk Bandar juga sudah memberi amaran kepada orang ramai untuk kekal duduk di tempat yang tinggi.
"Kira-kira 5,000 orang telah dipindahkan, tetapi jumlah itu mungkin meningkat," kata Menteri Perlindungan Awam, Nello Musumeci kepada Radio 24.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -sebab-banjir-besar |
|