CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 311|Reply: 0

Renault Zoe E-Tech dilancar di Malaysia secara rasmi

[Copy link]
Post time 18-5-2023 04:57 PM | Show all posts |Read mode


Selepas mula diprebiu pada Ogos tahun lalu, akhirnya Renault Zoe R-Tech 2023 kini secara rasmi mula dijual pada pasaran Malaysia. Penawarannya di pasaran tempatan oleh TC Euro Cars masih kekal dengan dua varian, bermula varian asas Zoe R110 dijual pada harga RM165,000, dan juga varian tertinggi Zoe R135 dijual pada harga RM179,000.

Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran termasuk waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, serta waranti bateri EV diberikan selama lapan tahun atau 160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.

TC Euro Cars turut menawarkan pakej langganan untun Zoe E-Tech ini dengan pelan bermula 12 hingga 36 bulan. Pelanggan yang berminat untuk melanggan Zoe baharu ini boleh mendapatkan Fixed Plan menerusi platform Renault Subscription. Ada tiga pelan yang ditawarkan iaitu setahun, dua tahun dan tiga tahun dengan kadar bermula RM2,799 sebulan untuk Zoe R110 dan RM2,999 sebulan bagi Zoe R135.



Bayaran bulanan yang dikenakan untuk pakej langganan ini adalah termasuk kos insurans, kos servis biasa dan juga kabel Type 2 AC. Menurut TC Euro Cars, proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.

Kedua-dua varian Zoe baru untuk pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan bateri Z.E 50 baharu dengan kapasiti 52 kWh. Ini membolehkan EV kompak berkenaan bergerak sehingga 395 km untuk varian Zoe R110 dan 386 km bagi Zoe R135 (mengikut kitaran WLTP).

Dengan pengecas AC dengan sambungan Type 2, bateri Zoe ini boleh penuhkan dari kosong dalam masa tiga jam menggunakan pengecas 22 kW (didakwa paling pantas dalam kelasnya), atau 9.5 jam dengan pengecas 7.4 kW. Pengecas pantas DC juga boleh digunakan (dengan sambungan CCS2), dan pada kadar 50 kW, membolehkan cas dari kosong hingga 80% dicapai dalam masa 70 minit.


Kedua-dua varian ini hanya dibekalkan dengan motor elektrik tunggal untuk memacu roda hadapan. Zoe R110 menerima motor yang mampu menghasilkan 110 PS (80 kW) dan tork 225 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 135 km/j.

Manakala Zoe R135 pula diberikan motor berkuasa 135 PS (100 kW) dan 245 Nm, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j lebih pantas dalam masa 9.5 saat, serta mencatakan kelajuan maksima lebih tinggi iaitu 140 km/j.

Zoe baharu ini juga menampilkan fungsi B-mode, membolehkan ia dipandu dengan hanya satu pedal serta membantu penjanaan semula kuasa lebih baik. Mod Eco juga diberikan bagi membantu menjimatkan tenaga dengan mengawal fungsi tertentu kenderaan. Pemandu juga boleh melihat meter Eco yang disediakan untuk memerhatikan penggunaan tenaga.



Dalam kabin, Zoe diberikan upholsteri fabrik baharu yang didakwa 100% dari bahan kitar semula menggunakan yarn sisir kasar, pertama dalam industri automotif. Yarn tersebut dibuat daripada tali pinggang keselamatan dan material plastik terbuang, diperolehi dan dikilangkan berdasarkan kepada kitaran prinsip ekonomi didakwa dapat membantu mengurangkan penghasilan CO2 sehingga lebih 60 peratus.

Zoe R110 hadir dengan upholsteri fabrik kitar semula jadi berwarna hitam. Sementara Zoe R135 menerima tempat duduk berwarna hitam dengan kombinasi kulit dan fabrik. Upholsteri fabrik kitar semula yang sama turut digunakan pada band horizontal di tengah papan pemuka.

Selain itu, material baharu yang lembut turut digunakan pada papan pemuka, sementara butang cruise control yang diletakkan di belakang stereng yang turut menampilkan material kitar semula PET. Zoe baharu ini juga menerima cermin hadapan akustik bagi mengurang impak bunyi bising dari luar.



Menurut Renault, konsol tengah pada Zoe baharu ini menawarkan dua kali ganda ruang storan, merangkumi dua tempat meletak botol minuman dan satu ruang untuk pengecasan telefon tanpa wayar. Ruang but pula tidak berubah iaitu 338 liter.

Untuk kelengkapan, Zoe R110 datang standard dengan lampu utama, lampu DRL dan lampu belakang LED, rim 16-inci, panel instrumen digital 10 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Easy Link 9.3-inci (sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), enam pembesar suara, balutan fabrik, pendingin hawa automatik, cermin sisi larasan elektrik, e-shifter elektronik, brek parkir automatik, lampu kabin LED sepenuhnya, serta penderia undur.

Bagi Zoe R135, ia turut ditambah dengan sistem navigasi yang boleh berfungsi secara offline, soket pengecas USB di tempat duduk belakang, pendingin hawa automatik, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur, cermin sisi boleh lipat serta penderia parkir hadapan dan belakang.

Bagi kelengkapan keselamatan pula, Zoe R110 datang standard dengan empat-beg udara, amaran penukaran lorong (LDW), kawalan kestabilan elektronik (ESC), anti-slip regulation (ASR), ABS, bantuan brek kecemasan (EBA) dan bantuan mula mendaki (HSA). Manakala Zoe R135 diberikan tambahan lampu tinggi adaptif. pemantau titik buta dan dan bantuan parkir bebas tangan (hands-free park assist).

    

Pelanggan boleh memilih Renault Zoe R110 dalam warna badan solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 pula boleh dipilih dengan pilihan warna hitam, biru, merah dan ungu.

Setiap pembelian Renault Zoe baharu ini dilengkapi dengan kabel 22 kW Type 2, tidak termasuk pengecas boleh alih. Pelanggan yang membeli atau melanggan diberi pilihan memasang pengecas wallbox VESTAL 7 kW pada harga RM6,250 atau wallbox VESTEL 22 kW dengan harga RM6,950 sama ada di rumah atau pejabat mereka. Kos tersebut termasuk kabel sepanjang 15 meter.

TC Euro Cars mengesyorkan pelanggan yang berminat untuk membeli atau melanggan Zoe baharu menerusi Renault E-Store bagi memudahkan proses pembelian secara digital. Bagi pelanggan terawal yang menempah, mereka dijangka akan menerima kereta masing-masing pada Jun atau Julai 2023.

https://paultan.org/2023/05/17/r ... ula-rm2-8k-sebulan/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

4-5-2024 11:19 PM GMT+8 , Processed in 0.051879 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list