CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 399|Reply: 0

Mercedes-AMG A45S facelift 2023 dilancar di Malaysia

[Copy link]
Post time 15-6-2023 04:46 PM | Show all posts |Read mode

Serentak dengan pengenalan model facelift 2023 bagi Mercedes-Benz A-Class sedan V177 di Litar Antarabangsa Sepang pagi tadi, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan versi prestasi A-Class hatchback W177 paling berkuasa iaitu Mercedes-AMG A45S juga dalam versi facelift 2023.

Model yang dikemaskini ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM509,888, dan khas untuk pengenalan versi facelift ini di Malaysia, MBM turut menawarkan model edisi terhad A45S Street Style Edition yang dijual pada harga RM539,888.

Tiada perubahan yang diberikan pada unit rangkaian kuasa A45S ini, di mana ia masih dijana oleh enjin produksi 2.0L empat silinder turbo paling berkuasa di dunia, iaitu enjin M139 yang menghasilkan kuasa 421 PS pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 5,000 hingga 5,250 rpm.

Mercedes-AMG A45S <em>facelift</em> 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k



Enjin berkenaan masih digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan dengan agihan tork bervariasi ke kesemua empat roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Gandingan ini membolehkan A45S ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

Untuk bahagian luaran, model facelift ini menerima lampu hadapan baharu sama seperti A-Class biasa, iaitu unit yang lebih ringkas menampilkan jalur LED lampu nyalaan siang pada bahagian ‘kening’ yang lebih nipis dan tidak lagi berbentuk-J.

Gril AMG Panamericana masih diberikan, tetapi kini dengan bahagian kerangka sekeliling yang diprofil semula. Seperti model-model AMG yang lain, A45S facelift ini tidak diberikan logo bintang tiga-penjuru biasa pada muncng hadapan, sebaliknya menampilkan laureal wreath AMG.

Mercedes-AMG A45S <em>facelift</em> 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k



Di belakang, kluster lampu masih sama tetapi disegarkan dengan grafik LED baharu. Manakala spoiler bumbung bersaiz besar, diffuser yang agresif pada bahagian bawah bampar serta tip empat tip ekzos berbentuk oval masih lagi nampak sama.

Mercedes-AMG A45S facelift pasaran Malaysia ini juga datang dengan bumbung panaromik dan Aerodynamics Package secara standard, menampilkan flic, splitter dan tambahan kemasan pada bampar hadapan. Ia juga hadir standard dengan AMG Night Package yang menampilkan beberapa panel kemasan luar diberikan warna hitam berkilat untuk rupa yang lebih agresif.

Untuk roda, Mercedes-AMG A45S ini pula diberikan rim aloi ringan AMG 19-inci lima-jejari berkembar dalam kemasan hitam dan aloi digilap. Menurut Mercedes, rekaan rim ini turut mengambil kira faktor aerodinamik yang dioptimakan. Ia dibalut dengan tayar Continental SportContact 9 bersaiz 245/35ZR19.

Mercedes-AMG A45S <em>facelift</em> 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k



Bagi model edisi terhad AMG Street Style Edition, ia datang dalam warna asas Manufaktur istimewa iaitu Mountain Grey Magno dengan kemasan akhir hitam/Anthracite Matt. Ia juga menampilkan pelekat badan dengan grafik isitimewa AMG serta jalur-jalur serlahan berwarna oren bagi menyerlahkan lagi komponen-komponen Aerodynamics Package.

Model istimewa AMG Street Style Edition ini juga menerima gril hadapan dengan rekaan berlainan, rim aloi forged AMG 19-inci pelbagai jejari yang lebih ringan, serta emblem-emblem model pada badan dalam kemasan hitam berkilat.

Sama seperti A-Class biasa, pada sebelah dalam, model A45S facelift 2023 ini juga menerima papan pemuka dengan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen digital dan infotainmen. Touchpad pada konsol tengah yang digunakan untuk mengawal skrin infotainmen pada A45S ini juga sudah tidak ada dan bahagian berkenaan kini ditempatkan ruang storan bertutup bersama butang kawalan untuk sistem Dynamic Select dan lain-lain.


Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada A45S facelift ini juga telah dipertingkat kepada versi NTG7, dan ia menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar dan port pengecas lebih berkuasa.

Khas untuk A45S ini, ia turut menerima pilihan paparan AMG istimewa yang tidak ada pada A-Class biasa, serta AMG Track Pace dan juga sistem bunyi surround dari Burmester. Selain itu, A-Class paling berkuasa ini juga menerima AMG Real Performance Sound, iaitu sistem yang menyalurkan bunyi enjin turbo yang lebih baik ke dalam kabin.

Ia juga diberikan roda stereng AMG dengan rekaan baharu, bersama balutan gandingan kulit nappa dan gentian mikro Microcut. Ia juga datang standard dengan AMG Performance Seat Package Advanced menampilkan tempat duduk bucket larasan elektrik AMG, serta upholsteri gabungan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut untuk keseluruhan kabin.

    

Selain itu, ia juga diberikan lampu suasana kabin 64-warna, serta menerima perincian-perincian AMG yang lain seperti panel-panel kemasan aluminium AMG, karpet kaki AMG, kemasan bendul pintu bernyala AMG.

Untuk Street Style Edition pula, ia ditambah dengan kemasan-kemasan dalaman dengan serlahan oren termasuk pada benang jahitan, sulaman A45S pada perehat kepala tempat duduk, tulisan AMG pada kemasan bendul pintu, serta kapet kaki istimewa dengan tulisan “Street Style Edition”.

https://paultan.org/2023/06/14/m ... yle-edition-rm540k/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

4-5-2024 09:53 PM GMT+8 , Processed in 0.052114 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list