Edited by stingertaikjubo at 20-6-2023 04:52 AM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu pemberian kontrak gentian optik bernilai RM214.2 juta yang diberikan kepada syarikat yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pembelaan terhadap saman fitnah terhadapnya.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui e-filing malam tadi, pengerusi PH itu bergantung kepada pembelaan justifikasi (sedia untuk membuktikan dakwaan di mahkamah) dengan menyebut antara lain pemberian kontrak kepada Opcom Cables Sdn Bhd.
Presiden PKR itu mendakwa anak sulung Mahathir, Mirzan menjadi pengarah Opcom Cables dari 1994 hingga 2021, anak kedua Mokhzani menjadi pengarah dari 2009 hingga 2019, anak ketiganya, Mukhriz menjadi pengarah dari 1994 hingga 2019, dan isteri Mukhriz, Norzieta Zakaria menjadi pengarah dari 1995 hingga 2021.
Mahathir adalah perdana menteri dan menteri pertahanan ketika kontrak itu diberikan.
Pernyataan pembelaan itu dibuat ekoran dari saman fitnah yang difailkan oleh Dr Mahathir.
Mantan perdana menteri itu menyaman Anwar RM150 juta yang terdiri dari ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.
Semasa kongres PKR pada 18 Mac, Anwar merujuk kepada Mahathir tanpa menyebut nama beliau dan menyatakan bahawa mantan perdana menteri bersikap perkauman dan memperkayakan ahli keluarga.
Kawal MOF Inc, bantu keluargaAnwar turut menyatakan bahawa Dr Mahathir mengawal Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sewaktu memegang jawatan perdana menteri dan menteri kewangan.
“Pada tempoh material tersebut, Opcom Cables dikawal oleh dan/atau dimiliki oleh ahli-ahli keluarga Plaintif seperti yang dijelaskan dalam perenggan 61 di atas.
“Dalam kata lain, ahli-ahli keluarga plaintif mempunyai kepentingan yang besar dalam Opcom Cables; Kencana Petroleum adalah dan/atau, untuk semua maksud dan tujuan, sebuah syarikat yang dimiliki oleh dan/atau dikawal oleh Mokhzani.
“Walaupun hanya ditubuhkan pada tahun 2001 dan tiada sebarang rekod prestasi yang diketahui, Kencana Petroleum telah diberikan lesen fabrikasi utama oleh Petronas.
“Lesen fabrikasi tersebut telah diberikan kepada Kencana Petroleum semasa Plaintif adalah perdana menteri,” kata Anwar.
Anwar turut mendakwa bahawa Mahathir sebelum itu juga menyelamatkan syarikat anaknya (Mahathir) sewaktu krisis kewangan Asia. Antara syarikat tersebut ialah KPB yang kini dikenali sebagai Pos Logistics Berhad.
Mirzan ketika itu adalah pemegang saham majoriti dan pengarah KPB.
Anwar mendakwa bahawa beliau telah menolak permintaan Mahathir untuk menyelamatkan KPB mempunyai liabiliti bersih RM423.94 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 1997.
“Walaupun defendan enggan melayan permintaan KPB untuk bantuan kewangan dan beliau juga telah menjawab Plaintif seperti yang dinyatakan di atas, defendan telah dimaklumkan kemudian oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican, yang merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terdahulu, bahawa plaintif telah mengarahkan Petronas untuk menyelamatkan KPB.”
Anwar turut mendakwa saman yang difailkan oleh Mahathir ke atas dirinya berniat jahat kerana Mahathir tidak mengambil tindiakan sama ke atas penerbitan dan anggota masyarakat yang membangkitkan perkara sama.”
Tindakan ini telah difailkan dengan tujuan untuk melemahkan kredibiliti defendan sebagai perdana menteri semasa serta Kerajaan Persekutuan semasa, dan untuk mewujudkan perpecahan kaum memandangkan pilihan raya negeri yang akan datang bagi Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah;
“Plaintif telah baru-baru ini membuat banyak serangan umum yang tidak berasas terhadap Kerajaan Persekutuan semasa yang dipimpin oleh defendan semata-mata untuk melemahkan/menjejaskan kredibiliti mereka memandangkan pilihan raya negeri yang akan datang bagi Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
|