CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 253|Reply: 0

[Negeri Sembilan] 'Saya bangga dengan arwah, dia gugur sebagai wira'

[Copy link]
Post time 26-6-2023 04:35 PM | Show all posts |Read mode

Masdi bapa kepada Laskar Udara I Mohd Iqmal menunjukkan foto Allahyarham bersama keluarga pada telefon bimbitnya. FOTO Ahmad Hasbi

Nilai: Bapa kepada pelatih yang meninggal dunia dipercayai akibat terkena bom lempar ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, dekat Tampin, semalam, menyifatkan anaknya gugur sebagai seorang perajurit.

Masdi Md Isa, 57, berkata, dia berbangga dengan Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang sudah melaksanakan amanatnya sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Meskipun dia terkorban ketika menjalani latihan, saya bangga dengan arwah kerana sudah menjalankan tanggungjawabnya kepada angkatan (pasukan) dengan menurut perintah menjalani latihan.

"Saya anggapnya sebagai wira, saya bangga dengannya. Sudah takdirnya terkorban ketika menjalani latihan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rawa Hulu, dekat Lenggeng, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (INSTAR) maut selepas dipercayai terkena bom lempar yang dikatakan meletup ketika latihan.

Masdi berkata, dia akur dengan ketentuan itu dan tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam insiden bom lempar yang dikatakan meletup ketika latihan menembak dan bom lempar, tengah hari semalam.

"Saya pasrah dan terima seadanya. Sudah ditentukan tuhan, malah saya bersyukur kerana dia sudah berjuang hingga ke nafas terakhir.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh anggota serta pegawai yang terbabit kerana menunaikan permintaan saya sepanjang proses pengebumian, ia memudahkan saya," katanya.

Jenazah Allahyarham dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa, di sini, selepas solat Asar.

Masdi juga menyifatkan anak ketiga daripada enam beradik itu seorang yang mesra dengan keluarga dan tidak banyak kerenah selain mempunyai hubungan baik dengan pelatih lain.

"Daripada apa yang saya tengok dia memang seronok menyertai TUDM. Saya dengan dia atau anak lain seperti kawan, jika ada apa-apa masalah dia akan bercerita kepada saya.

"Kali terakhir saya jumpanya minggu lalu ketika dia pulang ke rumah. Sebelum dia pulang ke kem, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda aneh dan kami sempat berpelukan.

"Bagaimanapun, dua tiga hari sebelum kejadian, dia ada hantar satu rakaman video mukanya. Namun, saya perasan riak wajahnya seperti sayu, bagaimanapun saya tidak berfikir yang bukan-bukan," katanya yang kini bekerja kampung.

Masdi juga sempat meminta seluruh rakyat Malaysia supaya menitipkan doa kepada anaknya itu semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan dipermudahkan urusan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -gugur-sebagai-wira

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-1-2025 02:34 PM GMT+8 , Processed in 1.223922 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list