CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 248|Reply: 0

[Terengganu] Ini 'last' ambil madu...

[Copy link]
Post time 4-7-2023 02:23 PM | Show all posts |Read mode

ARIFFIN menyiram air pada pusara arwah bapanya, Che Hussin Che Hassan, 62 yang maut ketika mencari madu. FOTO Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Kata-kata 'ini 'last' (terakhir) mencari madu' terngiang-ngiang di telinga Midah Abdul Rahman, 62, isteri pencari madu yang maut atas pokok keruing setinggi 60 meter di hutan Kampung Cabang Tongkat, di sini, petang semalam.

Midah berkata, arwah suaminya, Che Hussin Che Hassan berkata demikian sebelum dia bersama dua rakannya masuk ke hutan sekitar 8 pagi semalam.

Menurutnya, suaminya memang suka masuk ke hutan atau bukit dan sudah mencari madu sejak tiga tahun lalu bagi menambah pendapatan keluarga.

Katanya, pokok yang dinaiki arwah ketika kejadian juga sudah sering dipanjatnya beberapa kali sebelum ini.

"Dia (arwah suami) memang suka masuk hutan, biasanya dia akan pergi pagi dan balik tengah hari dengan hasil madu yang akan dijual sendiri.

"Tapi semalam, rakan arwah datang maklum dia terlekat pada pokok, saya ingat lekat biasa saja, bila Maghrib arwah dibawa keluar baru tahu dia sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telosan, di sini, hari ini.

Midah berkata, kebiasaannya arwah suami pergi mengambil madu dengan anak lelaki mereka, Muhammad Ariffin, 30 atau rakan sekampung.

Menurutnya, disebabkan kedua-dua mereka menolak ajakannya, dia kemudian pergi bersama rakan lain.

Katanya, arwah suaminya sempat meminta dia membuat kaki lembu air asam yang sepatutnya dinikmati selepas dia balik mengambil madu, petang semalam.

"Malam sebelum itu, arwah ada bawa balik kaki lembu yang orang sedekah dan sempat hirup kuah kaki lembu yang direbus dan berpesan untuk masak sedap-sedap kaki lembu air asam ini esoknya, tapi dia tak sempat makan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Ariffin berkata, sebaik mendapat tahu bapanya 'terlekat' di pokok, dia terus masuk ke hutan terbabit.

Katanya, menurut dua rakan arwah, bapanya sempat berpesan menyuruh mereka berselawat tiga kali ketika dia berada di atas pokok.

"Kawan ayah beritahu lepas minta mereka berdua berselawat, ayah menyebut Allah beberapa kali dan mereka lihat kaki ayah sudah terkulai dan tak jejak paku yang menjadi tangga di pokok itu.

"Bila mereka syak ada benda tak kena, mereka terus maklumkan kepada bomba dan orang kampung," katanya yang bekerja menjual ikan.

Jenazah Allahyarham yang juga dipanggil Hussin Bukit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telosan, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, pihak bomba mengambil masa lebih tujuh jam untuk membawa turun mayat mangsa yang lengkap berpakaian dengan penutup muka dalam kejadian pada 1.09 tengah hari semalam.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ini-last-ambil-madu

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-1-2025 08:35 PM GMT+8 , Processed in 1.877868 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list