|
LIMA sekawan dilepas dan dibebas daripada tuduhan membunuh remaja pada 2012. FOTO Alias Abd Rani.
Muar: "Alhamdulillah, hari ini keadilan untuk saya. Allah bersama saya," kata Mohamad Fairuz Tuah, 35, yang terlepas hukuman mati bersama empat rakannya daripada tuduhan membunuh remaja lelaki pada 2012.
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan Mohamad Fairuz bersama Sek Jamaludin Mahmad, 49; M Seri Viremurugan, 42; Abdul Rafiq Ganasan Abdullah, 5; dan M Nagarajan, 36, daripada tuduhan itu.
Hakim Suria Kumar Dorairaj memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Suria Kumar berkata, keterangan empat saksi pendakwaan yang juga rakan tertuduh bercanggah dan tidak boleh dipercayai.
"Laporan pakar patologi serta bedah siasat juga mendedahkan kecederaan dialami mangsa lebih kepada punca kemalangan jalan raya. Kesan calar pada muka, lutut serta anggota badan lain kemungkinan disebabkan mangsa dilanggar.
"Pada masa sama, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan masa sebenar kejadian itu berlaku. Intipati mengaitkan berlaku penculikan terhadap mangsa sebelum itu juga tidak boleh diterima pakai kerana wujud percanggahan keterangan saksi," katanya.
Menurutnya, saksi turut gagal mengecam siapa yang memukul mangsa disebabkan tidak dapat melihat dengan jelas kejadian itu kerana terlindung dengan pokok.
Lima sekawan itu dituduh membunuh Muhammad Rauf Othman yang ketika itu berusia 17 tahun di kawasan lapang, Jalan Kundang 11, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat, antara 10 malam hingga 4.56 pagi, 31 Mei dan 1 Jun 2012.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika disabitkan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa didakwa dibawa ke tempat kejadian dengan kereta, sebelum Sek Jamaludin, Viremurugan dan Abdul Rafiq melempangnya.
Mangsa kemudian didakwa dibelasah semua tertuduh hingga tidak sedarkan diri, termasuk menggunakan belantan.
Terdahulu, seramai 33 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan, dengan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi.
Tertuduh diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim, Khairulzzaman Ridha, RK Balakrishan, Paul Krishanraja, Ramesh Wasan dan B Mariammah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... keadilan-untuk-saya |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|