|
S. P. Esther Christina mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Ipoh: Guru taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan meninggalkan kanak-kanak autisme berusia empat tahun tanpa pengawasan, April lalu.
Mangsa V. Thanes Nair, 4, disahkan meninggal dunia pada 17 April lalu.
Tertuduh, S P Esther Christina, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Tertuduh didakwa meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan yang untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.
Perbuatan itu didakwa di lakukan di kolam renang The Centro Club, Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang, di sini kira-kira jam 10.20 pagi 17 April lalu.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh diwakili peguam Gary Xavier.
Nor Syahirah memohon mahkamah mengenakan jaminan maksimum terhadap tertuduh sebelum Gary merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000.
Gary dalam rayuannya berkata anak guamnya kematian suami kira-kira tiga bulan lalu justeru menjadikan dia sebagai pencari nafkah tunggal keluarga dengan memperoleh pendapatan bulanan RM2,200 selain perlu menanggung ibunya yang berusia 80 tahun.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kanak-kanak-autisme |
|