|
Rakyat Johor harap Projek RTB segera dilaksana
Anwar Ibrahim
Batu Pahat: Sering terkesan dengan bencana banjir, penduduk di Johor berharap pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dapat dilaksanakan segera.
Pekerja kebun sawit, Mohd Suhaimi Sallehuddin, 48, berkata, perancangan Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan projek tebatan banjir sangat dinanti-nantikan memandangkan kawasan kediamannya di Kampung Parit Jayus, Sri Medan di sini, kerap dilanda banjir.
"Sebelum ini, kawasan berkenaan mengalami banjir hanya sekali dalam setahun iaitu sekitar Oktober hingga Disember, namun sejak lima tahun kebelakangan ini banjir berlaku pada awal dan pertengahan tahun," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan Ekonom Madani: Memperkasa Rakyat pada Khamis berkata, kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir seperti di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir.
Pada 12 Julai lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi pelaksanaan projek RTB di Johor, membabitkan Lembangan Sungai Muar, Segamat, Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi dan Batu Pahat.
Sementara itu, seorang peniaga Siti Nurneeza Esa, 34, berkata, banjir yang berulang setiap tahun diharap dapat diatasi dan projek tebatan banjir perlu dilaksanakan sebaiknya supaya bencana alam itu dapat ditangani dalam tempoh panjang.
"Saya berharap projek tebatan banjir tidak hanya bertahan dalam tempoh yang singkat sahaja, maka kajian dan penyelidikan teliti perlu dilaksanakan agar banjir ini tidak lagi berulang.
"Tahun ini sahaja, kediaman saya dua kali dinaiki air iaitu pada Januari yang kemudiannya surut beberapa hari sebelum banjir sekali lagi pada Mac, malah kedalamannya melebihi dua meter. Rakyat di sini tidak mahu lagi menjadi penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) setiap tahun," katanya.
Bagi penduduk di Parit Ahmad, Hamidin Sukiman, 25, dia menyokong usaha kerajaan untuk menyegerakan projek tebatan banjir yang dilihat dapat mengelakkan bencana dengan lebih teruk pada masa akan datang.
"Masih ramai penduduk yang trauma dengan kejadian banjir besar pada Mac lepas, malah saya sendiri risau apabila hujan lebat kerana bimbang banjir akan berulang," kata pekerja kilang itu.
Sebanyak 85,000 orang terjejas banjir besar yang melanda Johor pada Mac lepas.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... tb-segera-dilaksana
|
|