View: 1520|Reply: 0
|
[Johor]
Tak sempat joli, dua rakan usung peti besi RM47,000 dicekup
[Copy link]
|
|
SUSPEK kedua berusia 19 tahun diiringi polis selepas direman tujuh hari bermula hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Dua penjenayah tidak sempat berjoli hasil curi selepas ditahan kerana disyaki menceroboh syarikat timbang sawit sebelum melarikan peti besi seberat 100 kilogram (kg) mengandungi wang tunai RM47,000 di Parit Limbong, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 2.10 pagi, kedua-dua suspek berusia 19 dan 23 tahun dipercayai memecah masuk premis terbabit sebelum perbuatan mereka dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Kejadian disedari salah seorang pekerja yang mendapati peti besi terbabit hilang sebelum memaklumkan perkara itu kepada majikannya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata majikan terbabit kemudian membuat pemeriksaan melalui CCTV dan melihat kelibat dua suspek sedang mengusung peti besi itu.
Beliau berkata, berikutan itu satu laporan polis dibuat pada jam 11.30 pagi hari kejadian.
"Bertindak atas laporan, salah seorang suspek berusia 23 tahun yang juga dalang utama ditahan di Parit Jawa, dekat sini pada 1.30 petang hari sama.
"Suspek utama itu kemudian direman seminggu bermula 28 Julai lalu. Susulan penahanan suspek utama, polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 19 tahun selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 10 malam, Sabtu.
"Hasil siasatan mendapati suspek utama adalah pekerja yang mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit.
"Siasatan juga mendapati suspek utama mengetahui nombor keselamatan peti besi kerana turut diberikan tanggungjawab mengendalikannya," katanya.
Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan suspek kedua direman seminggu bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... esi-rm47000-dicekup |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|