Edited by pengecattaik at 6-8-2023 07:43 AM
LANGKAWI – Jumlah kemasukan pelancong ke pulau peranginan ini yang didakwa merudum ketika ini telah menyebabkan pengusaha penginapan bajet meliputi hotel bertaraf tiga bintang ke bawah berdepan kesukaran untuk beroperasi.
Sementara itu, Pengurus Operasi Kampung Guest House, Mohd. Farizal Padzil berkata, dia mula merasakan kekurangan tetamu dan kedatangan pelancong sejak beberapa bulan lalu.
“Disebabkan ini adalah perniagaan milik keluarga, jadi saya sendiri terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi menjaga tempat ini.
“Mujur sahaja tiada hutang dan tanah ini juga adalah milik keluarga, kalau tidak, pastinya kami tidak bertahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Motel Melati Tanjung, Raniza Ahmad berkata, walaupun penginapannya terletak betul-betul di tepi pantai, dia hanya menerima kira-kira 30 peratus tempahan sahaja pada cuti umum dan cuti hujung minggu.
“Kami hanya mampu gajikan pekerja dengan bilangan sangat minimum untuk beroperasi,” ujarnya.
Kemasukan pelancongan yang merosot ke pulau itu dipercayai disebabkan perkhidmatan feri yang kurang daripada 10 perjalanan sehari kepada hanya lima.
Tinjauan di beberapa penginapan tersebut di sini mendapati, kebanyakannya lengang walaupun pada cuti hujung minggu.
Pemilik penginapan Cenang Inn, Zainol Husin berkata, secara purata, tempatnya hanya mendapat kurang daripada 20 peratus tempahan sejak beberapa bulan lalu.
“Keadaan ini menyebabkan kami tidak dapat menampung kos operasi seperti bayaran pajakan tanah dan gaji pekerja.
“Namun, disebabkan saya mempunyai perniagaan lain yang lebih baik, jadi saya terpaksa gunakan keuntungan tersebut bagi menampung keperluan penginapan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kosmo!
|