Kemalangan maut menyebabkan empat rentung dalam kebakaran di Kilometer (km) 220 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah utara petang semalam dipercayai berpunca daripada pemandu yang hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah mengesahkan siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira pukul 5.15 petang itu berlaku ketika sebuah Proton Saga Iswara dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut melalui Tol Sitiawan Utara menghala ke Ipoh.
Keadaan kereta Porotn Saga yang berjaya ditarik naik di lokasi kemalangan di WCE hari ini.
“Apabila sampai di KM220 WCE arah utara, disyaki pemandu motokar hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum masuk ke dalam longkang di bahu kiri jalan serta hangus terbakar.
“Pemandu motokar seorang lelaki Cina berumur 56 tahun, penumpang hadapan seorang lelaki India (56 tahun) serta penumpang belakang lelaki Cina masing-masing berusia 45 dan 53 tahun rentung terbakar dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sementara seorang penumpang belakang lelaki Melayu berusia 54 tahun mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, menurut beliau, kesemua yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah warga tempatan dan berasal dari Ipoh.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693.
Sumber: KOSMO! ONLINE |