View: 1187|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Pengurusan jenazah kepada manusia sahaja, bukan haiwan
[Copy link]
|
|
RISALAH yang tular di media sosial mengenai perkhidmatan pengebumian haiwan peliharaan. Pihak Avatar Angels sudah menarik balik dan membuat permohonan maaf kepada umum berhubung perkara ini.
Kuala Lumpur: Islam menetapkan bahawa urusan pengurusan jenazah dengan sempurna hanya kepada manusia sahaja dan perkara sama tidak dilakukan kepada haiwan.
Pendakwah bebas, Ustaz Abdul Latif Ismail berkata, namun begitu haiwan yang mati hendaklah ditanam dengan adab yang baik kerana ia juga adalah makhluk Allah SWT.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asatizah Malaysia berkata, jika seseorang individu atau kumpulan berniat baik untuk mengurus bangkai haiwan dengan tujuan urus dan tanam tempat sesuai untuk mengelakkan terjadi penyebaran virus atau kuman mendatangkan mudarat kepada manusia serta persekitaran, maka ia diharuskan.
"Itu pun dengan syarat tiada sebarang kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu itu. Aspek caj urus menanam haiwan tersebut harus berpatutan dan tidak mendatangkan fitnah dengan dakwaan yang tiada asas dalam hukum agama Islam.
"Apa pun, paling baik ialah orang yang memelihara binatang itu, dia sendiri menguruskan dan menanam haiwan peliharaannya. Lakukan dengan cara terbaik supaya mengelakkan timbulnya fitnah dalam masyarakat.
"Sekiranya haiwan dipelihara oleh tuan beragama Islam, seharusnya dia yang mengambil tanggungjawab menguruskannya," katanya.
Beliau mengulas mengenai tular risalah dikeluarkan syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan dan pengebumian haiwan secara Islam termasuk kafan serta doa dengan bayaran ribuan ringgit.
Mengulas lanjut, Abdul Latif menasihatkan supaya isu itu cukup dihuraikan ringkas dan tidak perlu untuk diperbesarkan.
"Apa pun, umat Islam seharusnya mengetahui kaedah hukum yang sesuai dengan apa digariskan dalam Islam.
"Sekiranya haiwan dipelihara oleh tuan beragama Islam, seharusnya dia mengambil tanggungjawab untuk menguruskannya.
"Adalah kurang sesuai haiwan dipelihara oleh orang Islam dan kemudian mati diberi kepada orang bukan Islam," katanya.
Sementara itu, susulan risalah tular itu, syarikat itu pihak Avatar Angels menerusi akaun Facebook (FB) Avatar Angel Memorial Park mengeluarkan kenyataan maaf kepada umum.
"Kesemua pandangan amat kami hargai dan perincikan dalam memperbaiki kelemahan dan kesilapan promosi produk tersebut.
"Kami telah menarik produk dan promosi secara serta-merta dan segera memperbaiki kesilapan tersebut. Dengan rasa rendah diri kami Avatar Angels memohon kemaafan kepada semua pihak yang telah terkesan dan kami komited di dalam memastikan perkara tersebut tidak akan berulang pada masa depan," katanya.
Kenyataan itu menyebut, pihak Avatar Angels ingin menegaskan bahawa tidak berniat untuk menyinggung perasaan atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sahaja-bukan-haiwan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|