|
Seorang gadis berusia 21 tahun trauma hidup dalam ketakutan sejak lebih setahun diganggu secara maya oleh lelaki tidak dikenali.
Pada mulanya, lelaki itu menghantar mesej mahu berkenalan menggunakan ayat-ayat cinta menerusi Instagram pada Julai 2022 sebelum bertukar menjadi agresif termasuk menghantar mesej lucah.
Mangsa, Aaliyah Danial berkata, sejak awal lagi, dia sudah menyatakan hasratnya bahawa tidak berminat untuk berkenalan lebih lanjut dengan lelaki berusia 25 tahun itu.
Gambar hiasan
“Sejak itu, dia kerap mengganggu saya dan mengajak berjumpa. Dia menghubungi setiap hari walaupun saya tidak tahu daripada mana dia mendapatkan nombor telefon tersebut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Cerita Aaliyah, tidak cukup dengan mengganggu menerusi telefon, lelaki itu yang menggunakan nama dan gambar sebenar juga sedaya upaya akan berhubung dengan sesiapa sahaja yang mempunyai pertalian dengannya seperti bapa, adik serta teman-teman rapatnya.
“Dia akan bertanyakan tentang keadaan terkini saya melalui mereka, malah dia juga mengetahui pergerakan saya setiap hari.
“Lelaki itu tahu di mana saya belajar. Keadaan itu membuatkan saya menjadi bertambah takut,” ujarnya.
Lebih mengejutkan, pemuda tersebut mula memberanikan diri dengan menghantar ayat-ayat berunsurkan seksual secara umum di laman Twitter.
“Sebelum ini, sudah banyak kali dia membuat ciapan mengenai diri saya dan kebanyakannya hantaran tersebut adalah berunsurkan seksual,” katanya.
Aaliyah berkata, dia telah mengambil tindakan menyekat akaun lelaki itu di Twitter, namun usaha tersebut hanya sia-sia kerana dia mempunyai banyak akaun.
“Sejujurnya saya sangat paranoid jika ada nombor telefon tidak dikenali menghubungi saya. Sebagai langkah berjaga-jaga saya membawa kit keselamatan jika keluar rumah.
“Ekoran tidak tahan diganggu, saya membuat tiga laporan polis di Gombak dan Selayang pada November 2022 dan Mac lalu, namun dia masih tidak henti-henti mengganggu saya.
“Disebabkan tiada sebarang perubahan, saya membuat sekali lagi laporan polis pada 3 Ogos lalu untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Disebabkan gangguan masih berterusan, Aaliyah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga lelaki tersebut selain menularkan kejadian yang menimpanya dalam media sosial.
Difahamkan, keluarga pemuda itu sudah mengetahui perbuatan anak mereka, namun tidak mampu berbuat apa-apa selain menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.
Kejadian yang menimpa Aaliyah turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, pihaknya telah memberkas lelaki tersebut.
Suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Sumber: Kosmo |
|