|
Seorang gadis cemas gara-gara terperangkap di dalam ruang solat sebuah masjid pada waktu malam.
Aina Wardina Mat Zaki berkata, kejadian berlaku pada 5 Ogos lalu ketika keluarganya menghantar abangnya berurut di Dungun, Terengganu.
Sementara menunggu abangnya yang baru terlibat dalam kemalangan selesai berurut, dia bersama adik lelaki singgah di sebuah masjid berdekatan.
“Masa tu selepas pukul 9.15 malam, orang lain dah selesai solat berjemaah. Saya datang ke masjid untuk solat Isyak tapi kebanyakan pintu masuk tak dibuka.
“Kemudian seorang makcik yang baru keluar masjid tegur supaya saya ikut pintu depan. Saya tak fikir apa dan terus masuk dan ke tandas terlebih dahulu,” katanya kepada mStar.
Sebaik keluar daripada tandas dan selesai mengambil wuduk, gadis berusia 22 tahun itu terkejut apabila ruang masjid tiba-tiba bergelap.
“Hanya kawasan tandas yang berlampu. Masa tu saya terus masuk ke ruang solat wanita dan hidupkan suis lampu di situ.
“Pada mulanya saya tak fikir apa sebab sebelum ni ada pengalaman tinggal di asrama, jadi dah biasa lalu di tempat bergelap macam nak ke tandas sebelum on lampu,” ujarnya yang berasal dari Dungun.
Namun perasaan tidak sedap hati timbul sebaik selesai solat bersendirian apabila menyedari keadaan begitu sunyi di dalam masjid.
“Ruang solat di bahagian lelaki pun bergelap. Tengok dah tak ada orang, tak ada sesiapapun. Apabila nak keluar, saya terkejut sebab pintu berkunci bermangga dari dalam.
“Banyak pintu keluar pun sama berkunci dari dalam. Ada sliding door yang dapat dibuka, tapi sebaik keluar ada pagar lain di setiap pintu keluar yang turut berkunci.
“Saya kemudian telefon adik lelaki yang tunggu dalam kereta di luar pagar masjid. Dia datang dan periksa semua pintu keluar dari luar, memang berkunci,” katanya.
Menurut anak kedua daripada lima beradik itu lagi, mereka kemudian meminta bantuan daripada bapanya untuk menghubungi ahli jawatankuasa (AJK) masjid.
“Dalam setengah jam tunggu, ada seorang AJK datang. Selepas 15 minit, AJK kedua pula datang bawa kunci untuk buka pintu. 45 minit hingga sejam juga saya terkunci dalam masjid.
“Rasa bersalah dengan AJK masjid sebab mereka terpaksa datang semula untuk buka pintu. Banyak kes kecurian berlaku di masjid tu sebelum ini, itu sebab semua pintu dikunci demi keselamatan,” katanya yang sedang menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Melaka.
Mengakui pertama kali ‘terkunci’ di dalam masjid, Aina bagaimanapun mengakui perasaannya sangat berbeza ketika bersendirian di ruang solat wanita pada malam kejadian.
“Di situ tiba-tiba meremang bulu roma seperti ada yang memandang. Macam filem Makmum, seperti ada seseorang turut berada di situ.
“Saya sebenarnya penakut juga orangnya,” katanya yang merujuk kepada filem seram Indonesia yang mengisahkan seorang wanita dihantui ketika solat seorang diri. -CARI
Sumber: mStar
|
|