|
FATIN menunjukkan laporan polis yang dibuat. FOTO Fathil Asri
Ampang: "Setiap masa saya jadi takut sehingga badan saya menggigil. Malah, saya kerap tidak boleh tidur kerana bimbang rumah dipecah masuk akibat fobia dengan gangguan lelaki itu," kata wanita yang menjadi mangsa dihendap di media sosial oleh bekas pekerja.
Menceritakan pengalamannya, wanita yang hanya dikenali sebagai Fatin, 30, berkata, dia mengambil lelaki berusia 31 tahun itu bekerja di kedai kopi diusahakan bersama rakannya pada Ogos 2021.
"Rakan saya memaklumkan niatnya untuk mengambil bekas penagih sebagai pekerja untuk membantu mereka pulih dan mendapat pekerjaan.
"Dari situ, kami ambil lima pekerja lelaki yang baru keluar dari pusat pemulihan termasuk individu berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Fatin berkata, dia kurang berkomunikasi dengan lelaki itu kerana tidak selesa dengan caranya yang selalu menghubungi pada waktu malam.
"Mula-mula lagi, saya tidak begitu melayan dia dan minta rakan (perniagaan) untuk berkomunikasi dengannya kerana tidak selesa dengan caranya yang cuba rapat dan pernah ajak saya keluar, namun saya menolaknya.
"Pada Februari 2022, dia berhenti kerja tanpa notis dan saya tidak mendengar sebarang berita daripadanya sehingga sebulan kemudian dia menghubungi saya dalam keadaan marah serta tanya kenapa saya tidak cari dia.
"Malah, dia juga ada memaklumkan bahawa dia sudah jatuh hati pada saya. Bermula dari situ, saya kerap terima panggilan telefon, panggilan video dan mesej daripadanya di semua platform media sosial," katanya.
Menurutnya, walaupun dia sudah menyekat nombor telefon serta akaun media sosial lelaki itu, individu berkenaan tetap cuba menghubunginya dengan membuat akaun baru.
"Lelaki itu berterusan mengganggu saya dengan menghantar mesej dan gambar yang mengarut bukan saja kepada saya tetapi juga rakan, pekerja dan ahli keluarga saya dan gangguan itu berlarutan sehingga kali terakhir dia menghubungi saya pada 8 Ogos lalu.
"Tindakannya itu menyebabkan saya membuat laporan polis kali kedua di Balai Polis Ampang kelmarin selepas laporan kali pertama dibuat di Balai Polis Bukit Puchong pada 30 Mei 2022," katanya.
Katanya, dia mahu lelaki itu diambil tindakan kerana tidak mahu perkara itu berlarutan sehingga merasa tidak selamat setiap kali keluar rumah.
"Sekarang, kita sudah ada akta baru (Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan) bagi kesalahan menghendap. Justeru itu, saya mahu dia juga dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan berkenaan.
"Malah, saya ada minta nasihat daripada jurugambar wanita yang turut menjadi mangsa dihendap untuk tahu apa langkah yang saya boleh ambil bagi memastikan lelaki itu dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Terdahulu, kisah Fatin diganggu bekas pekerjanya itu tular di media sosial, baru-baru ini, selepas dia berkongsi gambar serta video rakaman mesej dan peti panggilan suara yang diterima daripada lelaki berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... anggu-bekas-pekerja |
|