|
ABDUR Rahman ditenteram saudara ketika pengebumian ahli keluarga di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Air mata mengiringi ketibaan jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, di perkarangan Masjid Ubuddiah, Parit Limbong, di sini, hari ini.
Enam van jenazah tiba dari Hospital Segamat, 2.55 petang tadi, disambut lebih 1,000 orang termasuk sanak saudara dan kenalan.
Jenazah kemudian dibawa masuk ke masjid dan disolatkan dengan diimamkan anak sulung pasangan Allahyarham Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, Abdur Rahman, 19.
Suasana bertambah pilu apabila Abdur Rahman dilihat menangis sebaik satu persatu jenazah ahli keluarganya dibawa masuk untuk disembahyangkan.
Abdur Rahman yang memimpin solat jenazah itu kelihatan sebak dan menitiskan air mata menyebabkan suasana ketika itu sayu seketika.
Dalam kejadian 6.30 petang, selain Amir Ruddin dan Norahimah, empat lagi anak pasangan itu turut meninggal dunia iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Kemalangan berlaku di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, ketika keluarga terbabit dalam perjalanan menghantar Norahimah di Segamat.
Norahimah adalah guru Sekolah Agama Semedak manakala Amir Ruddin imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang.
Jenazah enam beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong, 4.15 petang tadi.
Seorang lagi anak pasangan itu, Abdullah, 15, turut disahkan meningggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Segamat menjadikan keseluruhan tujuh mangsa.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... enazah-enam-beranak |
|