|
BEIJING, China – Seorang pekerja sebuah restoran di China didapati mencampurkan air paip ke dalam besen mop lantai yang dipenuhi jus oren.
South China Morning Post melaporkan, Restoran Tianye yang berpangkalan di Wenzhou, wilayah Zhejiang memohon maaf selepas berita insiden itu tular.
Video yang dirakam pelanggan memaparkan pekerja restoran itu meletakkan periuk berisi jus oren pekat ke dalam besen yang digunakan untuk mencuci mop lantai lalu menambah air paip.
Foto: SCMP
Kelihatan sebatang mop dan penyapu tergantung berdekatan mesen itu, manakala sebuah tong sampah yang sudah penuh kelihatan di lokasi kejadian.
Apabila pekerja itu menyedari dia dirakam, dia terus menuangkan jus oren itu ke dalam bekas hidangan, manakala beberapa pekerja lain cuba menghentikan rakaman.
Dalam satu kenyataan pada 26 Ogos lalu, Restoran Tianye menyalahkan insiden itu atas kekurangan penyeliaan dan gaya pengurusan yang santai di cawangan terbabit.
Pengurus restoran telah diturunkan pangkat manakala pekerja yang terlibat digantung kerja dan ditempatkan dalam program latihan kebersihan makanan. – CARI
Sumber: Kosmo |
|