View: 2333|Reply: 0
|
[Johor]
Susah nak cari beras tempatan di Johor Bahru, Kota Tinggi
[Copy link]
|
|
BEKALAN beras import berlambak di pasaran berbanding beras tempatan yang didapati terhad serta kehabisan stok di beberapa kedai runcit dan pasaraya di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: Penduduk di sekitar bandar raya ini dan Kota Tinggi mengeluh apabila mendakwa mereka semakin sukar mendapatkan bekalan beras tempatan dan gula sejak awal minggu lalu.
Tinjauan di Kota Tinggi mendapati ada penduduk mendakwa mereka terpaksa menjelajah ke beberapa kawasan bagi mencari kedai runcit yang menjual beras tempatan.
Seorang penduduk di Taman Saujana di Kota Tinggi, Masturah Suradi, 34, berkata dia terpaksa ke beberapa kedai runcit untuk mendapatkan bekalan beras tempatan bagi kegunaan harian keluarganya.
"Saya mendapati bekalan beras import memang berlambak tetapi sukar mendapatkan bekalan beras tempatan yang harganya lebih terkawal," katanya.
Sementara itu, seorang usahawan, Jamil Hussein, 54, berkata dia mendapati bekalan gula di sebuah pasar raya di Kota Tinggi juga kehabisan stok.
Menurutnya, malah perkara sama juga berlaku di kedai runcit sekitar Masai dan Pasir Gudang di sini sejak awal minggu ini.
"Sebagai pengguna kami hanya menjadi mangsa keadaan apabila berlaku masalah bekalan barangan asas yang ketara.
"Kami tidak pasti sama ada bekalan memang terhad atau disorok kerana mungkin harganya akan meningkat, selain gula kami mendapati bekalan beras tempatan juga terhad.
"Kami berharap perkara ini diambil perhatian kerana ia menimbulkan masalah terutama dalam kalangan peniaga yang memerlukan bahan berkenaan pada setiap hari," katanya.
Manakala seorang penduduk di Bukit Saujana di sini, Norhuda Yusof, 44, berkata penduduk terpaksa mendapatkan bekalan di kawasan lebih jauh berikutan ketiadaan bekalan beras di kedai runcit dan pasar raya berhampiran tempat tinggalnya.
"Harap perkara berkenaan diberi perhatian dan pengguna tidak lagi diberikan alasan tidak munasabah bagi permasalahan berlaku ini," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam berkata, bekalan beras tempatan tidak mencukupi bagi menampung permintaan pelanggan pasar raya itu.
Katanya, malah bekalan beras tempatan yang dihantar ke pasar raya berkenaan juga kebiasaannya habis dijual dalam tempoh tiga hingga empat jam menyebabkan pelanggan sering kecewa.
Menurutnya, pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan berikutan bekalan yang dihantar pembekal adalah berkurangan kira-kira 50 peratus berbanding tempahan.
"Sebelum ini sekiranya kami menempah 1,000 pek, sekurang-kurangnya 700 hingga 800 pek diperoleh daripada pembekal, namun kini bekalan diperoleh kurang daripada 50 peratus tempahan.
"Bekalan gula juga bermasalah sebelum ini namun kini semakin pulih," katanya ketika dihubungi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... r-bahru-kota-tinggi |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|