View: 5455|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Mayat dalam lori, dua lelaki ditahan bantu siasatan
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah lori di tempat letak kenderaan di Danau Kota, Setapak di sini, dipercayai mangsa bunuh, awal pagi tadi.
Pihak polis menerima laporan penemuan mayat mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun daripada adik perempuan mangsa yang berusia 56 tahun pada jam 1.48 pagi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke HKL dan pemeriksaan mendapati mangsa cedera di telinga dan bengkak di kepala dan pipi.
"Selain itu, terdapat kesan luka di mata, lebam di bahu dan tulang dada serta terdapat kesan darah dari dalam mulut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasil maklumat diperoleh, polis kemudian menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 36 dan 37 tahun di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman ke atas kedua suspek akan dibuat dalam masa terdekat.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
https://www.bharian.com.my/berit ... ahan-bantu-siasatan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|