View: 3078|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Nak tak nak kena juga beli!
[Copy link]
|
|
TINJAUAN Harian Metro di beberapa pasar raya termasuk pusat beli-belah mendapati hanya beras putih import boleh diperoleh. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Kuala Lumpur: Kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran terus membelenggu orang ramai termasuk peniaga sehingga membuatkan mereka tiada pilihan dan terpaksa membeli beras putih import.
Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar raya termasuk pusat beli-belah mendapati hanya beras putih import boleh diperolehi di premis terbabit.
Pekerja sebuah pasar raya yang enggan dikenali, berkata bekalan beras BPT mula terputus sejak dua minggu lalu, malah, beras putih import yang dijual turut mengalami kenaikan harga hingga RM8.
"Permintaan beras putih tempatan memang tinggi sebab harga murah. Tapi, sudah dua ke tiga bulan tidak ada stok. Ramai pelanggan cari, tapi nak buat macam mana bekalan tidak ada," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna yang ingin dikenali sebagai Fatimah, 28, berkata dia terpaksa membeli beras putih import walaupun harganya tinggi.
"Sebelum ini saya sekeluarga memang makan beras tempatan. Sebab ada pelbagai jenis dan pilihan, selain harga yang jauh lebih murah.
"Namun, sejak ketiadaan beras tempatan, nak tak nak kena juga beli beras import. Memang terasa jugalah kenaikan (harga) itu. Tapi nak buat macam mana, kalau tak beli beras, tak makanlah.
"Apa pun, saya berharap masalah ini dapat diatasi dengan segera. Saya percaya bukan saya saja yang berdepan situasi ini, tapi ramai lagi," katanya.
Pekerja syarikat swasta, Najaa Jefri, 30, berkata kesukaran mendapatkan beras BPT menyebabkan dia bersama suami berusaha mencari di merata tempat.
"Diakui, sekarang ini memang susah sangat nak dapat beras putih tempatan. Kadang masuk dua tiga kedai dan pasar raya pun belum tentu ada. Pusinglah merata tempat setiap hari. Kalau jumpa dah kira bernasib baik. Memang akan beli dalam kuantiti banyak.
"Bukan tak nak beli beras import, tapi harga mahal. Kami sekeluarga banyak komitmen lain. Jadi, mana yang boleh jimat, kami jimat," katanya.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras BPT di seluruh negara dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Pada 2 September lalu, pengilang padi dan pemborong beras negara dilaporkan diminta untuk meningkatkan bekalan BPT sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan itu di pasaran.
SYAMIM menunjukkan rak minyak masak paket kosong selepas bekalan habis di kedai runcitnya di Jalan Pasir Hor. FOTO Hidayatidayu Razali
Minyak masak paket putus bekalan di Kelantan
Minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi di Kelantan habis dijual menyebabkan pelanggan terpaksa memilih membeli minyak masak dalam botol.
Tinjauan di beberapa kedai runcit di Kota Bharu dan pasar raya di sekitar Bachok mendapati minyak masak bersubsidi itu habis manakala minyak masak botol dua hingga lima kg masih memenuhi ruangan di rak kedai.
Pemilik kedai runcit Hiezqiel di Jalan Pasir Hor, Syamim Nasruddin, 32, berkata, minyak masak di kedainya putus bekalan hampir dua minggu lalu dan hanya ada minyak masak dalam botol.
Katanya, masalah ketiadaan minyak masak itu berlaku kerana syarat yang dikenakan pemborong kepada peruncit iaitu perlu membeli gula premium sebanyak 24 kg atau satu bundle dan tiga bundle gula bersubsidi baru dapat dua kotak minyak masak satu kg.
"Syarat ini amat berat kerana gula premium jualannya sangat perlahan dan kami terpaksa menyimpan stok yang banyak. Namun, kami terpaksa membeli gula premium dan gula subsidi untuk mendapatkan stok minyak masak.
"Saya difahamkan, pemborong juga perlu membeli gula premium dan gula subsidi untuk dapatkan minyak masak paket ini. Bekalan yang banyak menyebabkan mereka mengenakan syarat yang sama kepada peruncit.
"Sebagai peruncit, saya berasa serba salah untuk mengenakan syarat pembelian minyak masak bersama gula premium kepada pembeli namun jika kami tidak berbuat demikian siapa nak beli stok gula premium kami?" katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, masalah itu perlu diselesaikan untuk mengelakkan bebanan kepada semua pihak termasuk pemborong, peruncit dan lebih utama adalah pengguna terakhir atau pembeli.
Peniaga, Zaharah Kamaruddin, 60, berkata, dia terpaksa membeli minyak masak dalam botol sejak lebih dua minggu lalu.
"Untuk meneruskan jualan, saya membeli minyak masak botol walaupun harganya sedikit mahal dan menyebabkan keuntungan yang sedikit," katanya
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -nak-kena-juga-beli |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|