View: 1346|Reply: 0
|
[Perak]
Ronda dengan Toyota Vios, pecah rumah guna Myvi
[Copy link]
|
|
MOHD Hasni menunjukkan gambar lima suspek dikenali Geng Tasha yang diberkas pihak polis. FOTO baru-baru ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Slim River: Polis memberkas sekumpulan lima penjenayah yang terbabit kes pecah rumah dikenali 'Geng Tasha' yang didalangi seorang wanita berusia 25 tahun, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata tangkapan terhadap seorang wanita dan empat lelaki berusia 23 hingga 36 tahun dilakukan selepas mangsa seorang guru membuat laporan rumahnya di Taman Bernam Baru, di sini dipecah masuk, 25 Ogos lalu.
Menurutnya, tiga suspek termasuk wanita terbabit ditahan pada 6 September lalu di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor.
Sementara, dua lagi suspek diberkas pada keesokan harinya masing-masing di Bukit Beruntung 3, Rawang dan Sungai Buluh.
"Turut dirampas set nombor plat palsu, kuku kambing, enam helai resit pajak gadai, dua set kunci mangga serta barang curi seperti komputer riba, tablet dan pelbagai barang kemas.
"Kesemua barangan itu ditemui di dalam kereta Toyota Vios dan Perodua Myvi yang kemudiannya disita pihak polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini, hari ini.
Mohd Hasni berkata, modus operandi kumpulan ini adalah meronda taman perumahan dengan Toyota Vios beberapa hari sebelum menyewa Perodua Myvi dan memecah rumah mangsa pada waktu siang ketika pemilik rumah keluar bekerja.
"Selepas mencuri, mereka akan mengunci semula pagar rumah mangsa dengan kunci mangga baharu," katanya.
Difahamkan, suspek menggadaikan barang kemas yang dicuri bagi membiayai kos guaman dalam proses perbicaraan yang sedang dihadapi di Selangor.
Mohd Hasni berkata, hasil siasatan mendapati, kumpulan terbabit turut aktif dalam beberapa siri jenayah pecah rumah di Subang dan Rawang sejak tahun lalu.
"Siasatan lanjut mendapati suspek wanita terbabit mempunyai 15 rekod lampau dalam jenayah dan narkotik, manakala empat lagi suspek lelaki masing-masing mempunyai empat, lima, 10 dan 14 rekod jenayah lampau.
"Seorang lagi lelaki ahli Geng Tasha yang dikenali sebagai 'Ahfai' yang beralamat di Desa Jaya Kepong, Selangor masih dalam buruan polis," katanya.
Beliau berkata, hasil tangkapan lima individu dalam kes terbabit, polis percaya berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah yang berlaku di Taman Bernam Baru, di sini yang berlaku 23 dan 25 Ogos lalu.
"Kes pertama membabitkan mangsa seorang pensyarah dengan kerugian RM5,000 dan kes kedua membabitkan mangsa seorang guru dengan kerugian RM30,000.
"Kelima-lima suspek direman selama lapan hari sehingga 14 September depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... cah-rumah-guna-myvi |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|