View: 3363|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Kek Tom and Jerry pikat pelanggan
[Copy link]
|
|
Pengusaha kek Farah Nurul Asyikin Mohamad Sukri sibuk menyediakan tempahan kek aiskrim dan keju yang telah ditempah oleh pelanggannya. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Bukan setakat kek yang cantik berwarna-warni tetapi Farah Nurul Asyikin Mohamad Sukri yang mesra dipanggil Feyra turut menggunakan daya kreativitinya menghasilkan kek aiskrim dan keju.
Bentuk kek yang dihasilkannya juga berbeza berbanding yang ada di pasaran, ditambah seri dengan hiasan seperti manik-manik gula yang pastinya memikat hati penggemar dan peminat kek serta manisan.
Biarpun masih 'hijau' dalam bidang pembuatan kek kerana baru memasuki tahun ketiga, anak kelahiran Ampang, Selangor berusia 28 tahun ini optimis dan terus gigih mencari peluang dengan memasarkan produk keluarannya menerusi label Therapeucake.co.
Penulis yang bertemu Feyra baru-baru ini berkesempatan melihat sendiri bagaimana beliau memulakan proses membuat kek, daripada peringkat menyediakan adunan sehinggalah ke peringkat akhir iaitu menghias kek.
Lepasan Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling dan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini ternyata tidak kekok langsung dengan apa yang dilakukannya itu.
"Memang sebelum ini tiada pengalaman membuat kek. Buat kek ini pun bermula awal 2020 dengan sekadar mencuba berikutan tidak betah duduk sahaja di rumah tanpa berbuat apa-apa selepas menamatkan pengajian pada 2019.
"Apatah lagi selepas Covid-19 melanda negara dan peluang pekerjaan juga tertutup ketika itu, akhirnya saya terpaksa memendam hasrat untuk mencari kerja khususnya dalam bidang kaunseling mahupun psikologi,'' katanya ketika ditemui.
Feyra sebelum ini pernah bekerja sebagai 'pembimbing dalam talian' untuk pelajar sekolah menengah dengan mengajar subjek teras seperti Sains dan Matematik bagi menjana pendapatan sendiri di samping tidak mahu terus bergantung harap pada keluarga.
Namun begitu, kerjaya itu tidak kekal lama selain pendapatan yang diterima juga tidak seperti yang diharapkan.
"Dalam tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, saya duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan dan idea membuat kek berbentuk aiskrim dan keju ini datang secara tiba-tiba apabila kebetulan saya menonton video di YouTube tentang cara membuatnya.
"Meskipun pada awalnya agak renyah, saya tetap cabar diri untuk mencuba, dengan hanya gunakan modal sendiri yang dikumpul ketika mengajar sekitar RM60, saya membeli tepung, pewarna dan acuan manakala peralatan lain kebanyakannya memang sedia ada di rumah termasuk oven dan mesin pengadun," kata anak keempat daripada enam beradik ini.
Selain dirinya sendiri 'jatuh hati' dengan kek keju dikenali sebagai Tom and Jerry Cheesecake dan kek aiskrim atau cakesicles, Feyra nekad menghasilkannya untuk jualan meskipun kek berkenaan lebih popular di luar negara ketika itu berbanding di Malaysia.
"Saya menonton video luar negara mengenai kek itu dan pada ketika itu hanya ada seorang atau dua sahaja pembuat kek tempatan yang mengusahakannya. Jadi hasrat untuk buat kek keju Tom and Jerry serta kek aiskrim atau cakesicles ini memang kuat,'' katanya.
Menurut Feyra pada peringkat awal perniagaan yang dimulakan di rumah, ahli keluarga adalah pelanggan utama juga pembantu selain sebagai pengkritik tegar produknya.
"Dalam masa seminggu saya banyak kali mencuba dan gagal. Saya minta keluarga rasa dan apabila mereka kata sedap dan bagi 'lampu hijau' yang kek ini boleh dijual, barulah saya berani menjual pada kawan-kawan dan jiran.
"Selepas itu saya ambil tempahan daripada penduduk sekitar Ampang. Dalam sehari saya buat lebih kurang tiga ke lima buah kek sahaja untuk satu tempahan dan tempahan tidak lebih daripada tiga pelanggan,'' katanya dengan menjelaskan sebuah kek mengandungi beberapa keping kes keju dan kes aiskrim, mengikut pilihan pembeli.
Dalam tempoh tiga bulan pertama, Feyra hanya menumpukan perniagaannya kepada kek keju sebelum menawarkan pilihan kek berbentuk aiskrim kepada pelanggan.
Mengakui hampir berputus asa apabila ada kek yang dibuat tidak menjadi Feyra turut mengolah resepi asal supaya ia menepati kehendaknya.
"Situasi paling sukar ialah untuk mendapatkan hasil acuan yang cantik untuk kedua-dua jenis kek. Kek bentuk keju yang paling susah kerana bahagian dalamnya diperbuat daripada keju yang diadun dengan perasa mengikut cita rasa pelanggan antaranya vanila, oreo dan coklat gelap sebelum kita salut dengan coklat putih.
"Proses untuk mengeluarkan keju pada acuan sangat sukar kerana ada masa salutan (coating) akan pecah dan sukar untuk dibaiki semula.
"Pernah lebih 10 kali saya buang keju begitu sahaja dalam tong sampah sebab rosak kerana bercampur dengan salutan berkenaan dan disebabkan itu saya tidak tidur seharian semata-mata menyiapkan tempahan,'' katanya menambah, pada permulaannya, kek bentuk keju yang dihasilkan hanya mengikut warna asalnya kerana tidak berani mencuba warna lain.
Bagi kek aiskrim, Feyra menggunakan sepenuhnya kek span sebagai elemen utama sebelum ia dimasukkan ke dalam acuan coklat putih.
"Saya akan hancurkan kek span pelbagai perisa termasuk coklat dan red velvet. Kemudian saya akan masukkan ke dalam coating coklat putih berbentuk aiskrim yang siap dicampur warna sebelum ia disejukkan.
"Dalam beberapa bulan sahaja saya mahir mengadunkan coklat putih ini dengan pelbagai warna terang yang menarik termasuk merah jambu, unggu, biru, hitam, hijau, merah dan sebagainya mengikut pilihan pelanggan," katanya menambah, pewarna yang digunakan adalah yang biasa digunakan di bakeri.
Menyifatkan PKP sebagai 'ada hikmahnya' apabila membuka ruang dan peluang untuk produk yang diusahakannya, siapa menyangka di saat sektor ekonomi negara lumpuh ketika itu, perniagaan kek Feyra sebaliknya mampu terus berkembang.
Tindakannya memanfaatkan sepenuhnya media sosial dengan aktif mengiklankan produk keknya bermula dengan Facebook dan kemudiannya TikTok dan Instagram berjaya melonjakkan perniagaan golongan peniaga kecil sepertinya.
"Di saat mungkin ada pemilik premis yang terpaksa gulung tikar, saya bersengkang mata demi menyiapkan tempahan yang mencapai lebih 200 tempahan sehari sehinggakan pada awal 2021 saya terpaksa berpindah operasi dari di rumah di Estana Court Condo, Ampang ke kedai runcit milik bapa yang juga terletak di lokasi sama, sampai ke hari ini.
"Saya memerlukan ruang yang lebih besar dan bapa sudi berkongsi sebahagian ruang kedai runcitnya kepada saya untuk menyiapkan tempahan yang banyak kerana ketika itu saya juga terpaksa menggaji dua orang pekerja sementara untuk membantu,'' katanya menambah, kebanyakan pembelinya adalah dari TikTok.
Menurut Feyra, trend beli-belah dalam talian ketika PKP turut membawa kepada tempahan yang bukan sahaja dari sekitar Lembah Klang malahan dari Negeri Sembilan, Perak dan Melaka, menjadikan beliau terus bersemangat menambah baik produknya termasuk melabelkannya dengan jenama Therapeucake.co.
Beliau menjelaskan, Therapeucake.co diambil dari kata dasar 'therapy' yang merujuk kepada proses beliau menghasilkan kek bagaikan satu terapi di samping mahu mengetengahkan dirinya yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kaunseling dan psikologi.
Selain menjual kek untuk dinikmati terus oleh pelanggan, Feyra turut menghasilkan kek dan manisan yang boleh dijadikan sebagai cenderahati atau hadiah untuk majlis tertentu termasuk ulang tahun kelahiran, pertunangan dan tanda terima kasih.
"Saya sendiri akan menulis ucapan di atas kek atau menyertakan kad ucapan serta menghiasnya mengikut permintaan pelanggan dan kesesuaian sesebuah majlis,'' katanya menambah, kek yang dijual pada harga dari RM37 sehingga RM200 bergantung kepada kuantitinya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rry-pikat-pelanggan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|