Edited by pengecattaik at 25-9-2023 10:28 PM
KUALA LUMPUR : Dua individu termasuk seorang bekas setiausaha politik ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah bagi meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Kedua-duanya dipercayai ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber berkata, suspek pertama ditahan berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan bersama suspek kedua yang juga pemilik syarikat berusia lewat 50-an.
Katanya, mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.
“Rundingan berkenaan dibuat melalui syarikat milik suspek kedua,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah bt Halid telah membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman empat hari sehingga 26 September ini selepas pihak SPRM membuat permohonan reman tersebut pagi tadi.
Terdahulu, Utusan Malaysia mendedahkan SPRM telah membuka kertas siasatan dakwaan rasuah melibatkan seorang bekas menteri berhubung pemberian tender.
Penelitian maklumat sedang dilakukan SPRM selepas satu laporan dibuat UMNO Wilayah Persekutuan pada Khamis lalu.
Dua hari lalu tular WhatsApp mengaitkan bekas menteri itu dengan beberapa individu berkaitan pemberian kontrak menyelenggara bangunan di bawah kementeriannya.
Mesej pertama,mengaitkan bekas menteri itu dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama yang didakwa membolot projek penyelenggaraan tersebut.
|