|
PEMANDANGAN di sekitar Kuala Lumpur setakat 12 tengah hari tadi terjejas akibat jerebu. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Kualiti udara seluruh negara kurang memuaskan apabila 18 daripada 68 stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, petang ini.
Kemas kini di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 2 petang, menyaksikan Bukit Rambai, Melaka mencatatkan bacaan IPU, 163 diikuti Batu Pahat, Johor dan Nilai, Negeri Sembilan masing-masing 162.
Pada masa sama, Cheras, Kuala Lumpur dan Port Dickson masing-masing merekodkan 155 diikuti Alor Gajah, Bandaraya Melaka serta Segamat, Tangkak dan Larkin, Johor dengan IPU 154.
Selain itu, Banting, Selangor pula merekodkan bacaan IPU 152 diikuti Putrajaya dan Seremban masing-masing 151 manakala Klang pula 124.
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Rompin, Pahang dan Kemaman, Terengganu, masing-masing IPU 118 dan 111 serta Batu Muda, Kuala Lumpur (103) dan Paka (108).
Sementara itu, 47 lagi stesen berada pada paras sederhana dengan merekodkan bacaan IPU antara 52 hingga 100 manakala tiga lagi kawasan paras baik antara 29 hingga 48.
Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 termasuk dalam kategori paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Sementara itu, pemantauan harian Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) untuk jerebu di rantau Asean setakat petang semalam mengesan, 188 titik panas direkodkan di Sumatera, Indonesia manakala 151 lagi di Kalimantan.
Terdahulu, Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam satu kenyataan hari ini mengakui asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negaranya berpotensi tersebar secara meluas berikutan faktor tiupan angin.
Katanya, beliau sudah memerintahkan supaya pegawai tertinggi tentera dan polis serta pemerintah daerah mengambil tindakan segera dengan serius untuk mengatasi masalah itu termasuk mengawal setiap titik kebakaran tidak kira besar mahupun kecil.
Justeru, beliau yakin usaha mengawal kebakaran yang sedang dilakukan negaranya pada masa ini lebih baik berbanding kebakaran hutan pada 2015.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ra-kurang-memuaskan |
|