“Baginda sentiasa mengambil perhatian terhadap masyarakat termasuk masyarakat orang Asli dan selaku ketua agama, baginda juga sentiasa memastikan agar syiar Islam terus terpelihara dan memastikan tiada mana-mana golongan yang boleh mengganggu gugat keamanan dan perpaduan, dalam kalangan semua bangsa,” kata bapa tiga anak kepada Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor (Gabung Johor), yakin Sultan Ibrahim dapat
menggalas tanggungjawab memayungi negara dengan adil dan bijaksana.
Ketua Penerangan Gabung Johor Abdullah Md Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata amanah itu, pasti dapat dilaksanakan seperti mana Sultan Ibrahim memerintah Johor.
“Gabung Johor menyatakan sokongan dan taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Sultan Johor yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan kami sebagai Bangsa Johor, amat berbesar hati apabila Tuanku dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kami, Bangsa Johor akan setiasa berada di belakang Sultan Ibrahim walau apa jua keadaan, susah mahu pun senang,” katanya serta menambah, sehingga kini Gabung Johor mempunyai 45 NGO dari seluruh negeri ini.
Presiden Permata Baiduri Malaysia Faridah Hamzah berkata sebagai anak Johor, beliau teruja dan berbangga apabila Sultan Johor dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara ini amat saya nanti-nantikan, kerana nama dan keperibadian tuanku yang mesra dengan rakyat dan mengambil berat berkenaan isu rakyat, sering diceritakan oleh segenap lapisan masyarakat meski pun saya berada di luar dari Johor,” katanya.
Pengurus syarikat swasta Felix Tan pula berharap agar pemerintahan baginda akan terus membawa keharmonian dan kehidupan yang lebih aman, kepada rakyat Malaysia.
“Sultan Johor adalah seorang Sultan yang berpengalaman luas dan layak dipilih sebagai Agong dan saya sentiasa hormati Sultan Johor kerana baginda merupakan salah seorang Sultan, yang sentiasa terlibat dengan rakyat dan baginda juga seorang ahli perniagaan yang berjaya.
“Saya doakan baginda dan Permaisuri Johor (Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah) diberi kesihatan yang baik untuk memerintah negara,” katanya yang menetap di Batu Pahat.
Bagi ahli perniagaan M.Kandapan dari Masai, yang beberapa kali berkesempatan berjumpa dan bergambar dengan Sultan Ibrahim, menyifatkan baginda sebagai seorang ketua yang disegani malah tidak sombong dengan rakyat jelata.
“Banyak kenangan bersama baginda beberapa tahun lalu dan saya yakin dengan sifatnya yang peramah, rakyat berbilang bangsa, sudah tentu ramai yang akan menyanjung baginda dan semoga pemerintahan baginda membawa kemakmuran dan kesenangan kepada semua golongan.
“Sebagai Bangsa Johor, sudah pastinya bangga kerana seperti satu penghormatan buat kami rakyat Johor. Saya harap baginda dapat memerintah negara dengan adil,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta Datuk Yahya Jaafar berkata ini merupakan satu detik bersejarah untuk Bangsa Johor, dan Sultan Ibrahim mampu membawa negara ini lebih maju dan gemilang.
“Seperti mana Johor maju di bawah payung Sultan Johor, begitu juga Malaysia akan terus maju di bawah payung tuanku dan pastinya ekonomi negara juga akan baik, kerana baginda sering mengingatkan kerajaan negeri Johor sebelum ini supaya mesti sentiasa mempunyai kewangan yang kukuh dan berbelanja dengan berhemah,” katanya.
Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) pula berharap, program bersama rakyat yang menjadi rutin Sultan Ibrahim di Johor, dapat diteruskan di seluruh negara.
-Bernama