View: 754|Reply: 0
|
[Selangor]
Tak jadi balik Kedah, risau rumah banjir lagi
[Copy link]
|
|
PENDUDUK meredah banjir di Taman Idaman Bangi. FOTO Saifullizan Tamadi
Kajang: Banjir yang berlaku pada awal pagi, hari ini menyebabkan seorang penduduk Taman Idaman Bangi di sini terpaksa melupakan hasrat untuk pulang menyambut Deepavali pada minggu hadapan.
Penduduk, M Davendran, 43, berkata, dia risau sekiranya pulang ke Kedah, rumahnya akan dimasuki air buat kali ketiga.
Katanya, sejak tinggal di Taman Idaman Bangi pada 2019, ini merupakan kali kedua rumahnya dinaiki air.
"Saya ingat nak bawa keluarga sambut Deepavali di Kedah. Tapi disebabkan banjir hari ini, tak jadi saya nak balik.
"Saya risau jika hujan, rumah saya akan banjir lagi. Tak jadilah saya balik kampung sambut Deevapali. Rumah pun kena bersihkan. Rasa Deepavali tahun ini macam tak Deepavali," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, dia yang bekerja sebagai jurutera komputer berkata, rumahnya dinaiki air pada 5.30 pagi.
"Dalam masa sejam iaitu 6.30 pagi, air sudah naik paras lutut. Kali ini air lebih laju berbanding dua tahun lepas pada tahun 2021 yang mengambil masa selama tiga jam masuk dalam rumah," katanya.
Dia turut menganggarkan kerugian yang dialami olehnya lebih RM10,000 iaitu sama seperti sebelum ini.
"Macam rumah saya peti sejuk, mesin basuh dan sofa tak sempat nak selamatkan disebabkan berat. Saya anggarkan kerugian saya hari ini lebih RM10,000 iaitu lebih kurang sama seperti saya alami dua tahun lalu," katanya.
Bagi seorang lagi penduduk Taman Idaman Bangi, Azrul Amin, 40, dia menyedari kawasan perumahannya dinaiki air apabila jirannya menghubunginya pada 5 pagi.
"Sewaktu kejadian saya sedang tidur. Saya sedar apabila jiran-jiran hubungi saya dan bunyikan loceng rumah kata air sudah naik.
"Dalam 6.30 pagi, air sudah masuk dalam rumah dan sampai paras lutut," katanya sambil menambah mengalami kerugian kira-kira RM8,000.
Disebabkan ini merupakan kali kedua rumahnya dinaiki air, Azrul mencadangkan agar aspek pengurusan air Sungai Semenyih berdekatan perumahannya itu ditambah baik.
Katanya, antara yang perlu diberi perhatian adalah meluas dan mendalamkan Sungai Semenyih selain mengukuhkan tebingnya.
Sementara itu, Pengerusi Taman Idaman Bangi, Engku Mohd Fahmi Engku Chik, 36, mendakwa, kejadian banjir yang dialami disebabkan tebing Sungai Semenyih runtuh dan merupakan kali kedua kejadian sama berulang.
"Ini kejadian kali kedua. Yang pertama tahun 2021. Kali kedua ini menurut orang kampung lain, benda yang sama berlaku.
"Walaupun perkara itu (tebing) sudah dibaiki dan sungai pun sudah didalamkan, perkara itu jadi juga," katanya yang tinggal sejak 2019.
Dia turut mencadangkan agar pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melihat semula tembok sungai tersebut
"Saya minta PBT lihat semula tembok sungai yang dibaiki itu disebabkan itu salah satu punca air masuk ke kawasan perumahan ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-rumah-banjir-lagi |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|