View: 3889|Reply: 1
|
Peluang kedua Meskinah, Abd Talip bina mahligai bahagia
[Copy link]
|
|
Peluang kedua Meskinah, Abd Talip bina mahligai bahagia
MESKINAH berkahwin semula dengan suami, Abd Talip selepas berpisah hampir dua tahun. FOTO Ihsan Meskinah Mustafa
Kampung Gajah: "Kami beri peluang kedua pada diri masing-masing untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga bukan saja kerana rasa sayang itu masih ada tetapi ia juga demi tiga anak," kata Meskinah Mustafa.
Meskinah, 40, mendapat perhatian di TikTok apabila berkongsi kisahnya berkahwin semula dengan suami, Abd Talip Baker, 37, selepas berpisah hampir dua tahun lalu dan mendapat pujian ramai kerana mereka membuang ego untuk kembali bersama.
Mereka kemudiannya bernikah semula pada 3 November lalu.
Suri rumah itu berkata, dia dan suami berkahwin pada Julai 2007 sebelum mengambil keputusan berpisah pada Disember 2021 selepas 14 tahun melayari alam rumah tangga bersama.
Menurutnya, perpisahan yang berlaku kerana kesilapan lalu itu juga meninggalkan kesan kepada tiga anak berusia antara empat hingga 14 tahun, malah dua anak yang masih kecil tidak mahu lelaki lain menjadi bapa baharu mereka.
"Dalam masa hampir dua tahun ini saya dan suami muhasabah diri, pada mulanya memang agak sukar mahu menerima dia buat kali kedua tetapi saya akur demi anak selain masih ada rasa sayang padanya selain kita semua tidak sempurna.
"Sepanjang 14 tahun bersama suami tak pernah culas menjalankan tanggungjawab, rajin bekerja dan menjaga makan minum kami dengan baik.
"Jadi saya fikir masih ada banyak kebaikannya berbanding kesalahan dilakukan sebelum ini dan memberinya peluang," katanya yang menetap di Kampung Tanjung Bidara, di sini, ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori juga berjanji untuk menjalani kehidupan bersama dengan lancar dan tidak mengulangi kesalahannya demi kehidupan bersama yang lebih baik sehingga ke akhir hayat mereka.
"Keputusan untuk kembali bersama juga mendapat sokongan arwah emak saya yang meninggal dunia selepas sehari kami bernikah dan arwah pernah cakap jika ini yang terbaik untuk saya dan anak, kembalilah bina kehidupan bersama," katanya.
Meskinah berkata, perkongsiannya di TikTok hanya untuk kenangan saja dan dia tidak menyangka video itu mendapat perhatian ramai, namun mengakui gembira jika ia memberi kebaikan dan nilai positif kepada orang lain serta berharap hubungan itu akan terus berkekalan sehingga hayat.
"Kita perlu perbaiki diri dan hubungan bersama dan kalau ada ruang untuk kembali bersama dan jika ada kesepakatan itu kenapa tidak bernikah semula kerana anak memerlukan kasih sayang ibu bapa.
"Perkahwinan semula ini membuatkan kami berdua berasa lebih prihatin, malah kasih sayang lebih terasa kerana kita sudah merasai perpisahan... kini cuba untuk menjadi yang terbaik bukan saja untuk diri sendiri tetapi untuk anak," katanya mempunyai tiga anak lain melalui perkahwinan pertama.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2023/11/1028059/peluang-kedua-meskinah-abd-talip-bina-mahligai-bahagia
|
|
|
|
|
|
|
| |
|