PERNAHKAH anda mendengar pengurusan wang radikal? Pada dasarnya, pengurusan wang jenis ini ialah anda menyimpan 50 peratus atau lebih daripada pendapatan.
Ia mungkin kelihatan seperti tidak masuk akal. Dengan paras gaji dan kos sara hidup zaman sekarang siapa sahaja yang boleh menyimpan separuh daripada pendapatan, betul?
Dalam 50 peratus wang yang diasingkan untuk simpanan itu, anda perlu bahagikan kepada beberapa bahagian seperti simpanan hari tua, simpanan untuk membeli sesuatu barangan (seperti bayaran muka kereta atau telefon baharu) dan simpanan kecemasan.
Dengan pengurusan wang radikal ini, anda akan mencapai target simpanan dengan lebih cepat dan sistematik.
Ia mungkin tidak masuk akal, tetapi tidak mustahil untuk dilakukan. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menyimpan 50 peratus daripada gaji.
Pilihan 1: Kurangkan perbelanjaan bulanan + Pendapatan kekal sama Pilihan 2: Perbelanjaan bulanan kekal sama + Tingkatkan pendapatan Pilihan 3: Kurangkan perbelanjaan bulanan + Tingkatkan pendapatan
Tidak pasti bagaimana untuk mula menyimpan separuh daripada gaji bulanan? Rujuk cara-cara di bawah.
Rekodkan setiap aliran keluar masuk wang Jika anda ingin berada di landasan yang betul untuk menyimpan separuh daripada pendapatan, langkah pertama ialah merekodkan perbelanjaan. Ini akan membantu anda mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang ke mana perginya wang hasil titik peluh anda.
Sekiranya ini kali pertama anda mahu merekodkan perbelanjaan, anda dinasihatkan untuk melihat penyata bank yang lalu atau menjejaki perbelanjaan anda untuk 30 hari seterusnya.
Sebelum boleh mula membuat perubahan pada perbelanjaan anda, adalah penting untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang tabiat perbelanjaan semasa.
Lakukan cabaran tidak berbelanja selama 30 hari Setelah anda menjejaki perbelanjaan selama 30 hari, anda dinasihatkan untuk melakukan cabaran tidak berbelanja selama sebulan.
Ini bermakna anda perlu mengehadkan perbelanjaan kepada perkara-perkara penting sahaja. Ini adalah cara mudah untuk mula menyimpan separuh daripada pendapatan anda.
Pastikan anda berusaha dengan jujur untuk tidak membelanjakan wang untuk perkara yang tidak penting seperti makan mewah di luar, membeli kopi setiap hari, membeli-belah dan sebagainya.
Cabaran ini pasti akan menguji kemahuan anda dan ia mungkin akan mencabar untuk beberapa hari pertama. Ingat, matlamat kita bukanlah untuk menjadi sempurna tetapi untuk berusaha.
Tujuan utama melakukan cabaran ini adalah untuk membantu anda menentukan perbelanjaan manakah jatuh dalam kategori keperluan dan kehendak. Ia juga akan membantu anda mengetahui perbelanjaan yang boleh dikurangkan atau dihapuskan.
Rancang perbelanjaan dan simpanan Sebaik sahaja anda sudah merekodkan perbelanjaan dan melakukan cabaran tidak berbelanja, sudah tiba masanya untuk membuat rancangan yang jelas untuk wang anda.
Ini akan lebih membantu anda untuk menyimpan separuh daripada pendapatan. Sama ada anda ingin membina dana kecemasan, membayar hutang, menyimpan untuk perkahwinan atau bayaran muka rumah atau bersara awal, mempunyai rancangan yang jelas untuk wang anda akan memudahkan penyimpanan.
Kurangkan perbelanjaan terbesar anda Bagi kebanyakan orang, perbelanjaan terbesar mereka ialah rumah (sewa atau bayaran bulanan), pengangkutan dan makanan (barangan runcit dan makan di luar). Mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan ini adalah cara yang terbaik untuk bermula jika anda berminat untuk menyimpan separuh daripada pendapatan anda.
Walaupun pakar kewangan mengesyorkan untuk membelanjakan tidak lebih 30 peratus daripada pendapatan kasar bulanan anda untuk perumahan, ini menjadi lebih sukar untuk dicapai dengan gaji yang tidak stabil dan harga perumahan yang melambung tinggi di bandar.
Namun, fikirkan untuk sewa bilik berbanding rumah (sekirangan bujang) atau sewa rumah yang biasa-biasa sahaja berbanding rumah mewah yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti canggih.
|