CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1429|Reply: 0

Ducati Scrambler 2023 – Urban, retro dan lasak

[Copy link]
Post time 13-11-2023 01:26 PM | Show all posts |Read mode

Jentera Itali, seksi, mencabar dan menawarkan kelainan




JENAMA Ducati seringkali dinobatkan sebagai “Ferari Dua Roda”. Selain datangnya dari Itali, setiap model yang diperkenalkan mempunyai ciri-ciri ‘wow factor’ atau daya penarik, sama ada dari segi prestasi kejuruteraan enjinnya, atau daripada reka bentuk yang unik dan tidak terlalu mengikut dengan trend atau ikutan masa kini.

Selain terkenal dengan jentera-jentera sport yang terkenal dengan prestasi kelajuan, Ducati sejak akhir-akhir ini seperti cuba meneroka kategori motosikal lain yang ada di pasaran. Model Scrambler ini bukanlah model yang sudah lama dalam barisan model-model yang terhasil dari kilang Ducati. Tetapi ia sebenarnya adalah model yang hanya ‘muncul’ apabila satu daripada pengedar mereka di Amerika yang mengubahsuai sebuah jentera Ducati jalanan (Ducati Diana) untuk dijual sebagai Ducati Scrambler dari 1962 hingga 1974.

Model tersebut telah berevolusi dan menjadi agak popular sekitar 2015. Model Icon, Urban Enduro, Flat Track dan lain-lain lagi. Malah salah satu model Scrambler “Desert Sled”, iaitu model yang memberi lebih tumpuan untuk penunggangan ‘off-road’, telah berevolusi sebagai Ducati Desert X, iaitu sebuah motosikal khas untuk penunggangan lasak, yang diperkenalkan kepada pasaran awam pada suku pertama 2023.

Saya telah berupaya mendapatkan satu daripada tiga model Ducati Scrambler 2023, iaitu model “Full Throttle”. Ayuh kita lebih mengenali jentera Itali ini.

REKA BENTUK FIZIKAL DUCATI SCRAMBLER: FULL THROTTLE

Model Full Throttle ini boleh diklasifikasikan sebagai model yang bersedia bila-bila masa untuk penunggangan ekstrem sama ada atas jalan raya biasa yang berliku atau melalui jalan-jalan ‘tikus’ yang tidak rata, berlubang-lubang atau beralun-alun.

Walau tidak bermaksud untuk di’kuda’kan sebagai sebuah jentera lasak 100 peratus, tambahan pula, DUCATI SCRAMBLER masih mengekalkan imejnya sebagai rekaan retro-urban. Berbanding dengan model lain 2023 yang ditawarkan (Icon & Nightsift), model Full Throttle ini lebih menyerupai sebuah motosikal perlumbaan “FLAT TRACK” yang sebenarnya membawa kepada kewujudan sebenar model ini. Perlumbaan “Flat Track” adalah perlumbaan yang menyaksikan motosikal-motosikal seperti Scrambler berlumba atas permukaan tanpa turapan tetapi rata. Pelumba-pelumba selalunya beraksi secara melalui litar berpasir yang rata dan dalam satu arah pusingan sahaja.

Sehubungan itu, model ini mempunyai handel pemegang yang sangat lebar kedudukannya, namun lebih rendah ketinggian handelnya berbanding model Icon iaitu model yang lebih kepada penggunaan dalam bandar atau urban yang mempunyai posisi kedudukan yang lebih menegak.

Warna khas untuk model “Full Throttle” adalah kombinasi warna hitam mati (matte black) dan merah yang walaupun sejenis konsep “matte” tetapi merah yang digunakan lebih ke arah merah menyala. Kombinasi yang cukup melambangkan sebuah jentera perlumbaan.

Model ini juga menggunakan ‘roda sport’ sama seperti model Icon, namun ditambah sedikit karakter pada roda ini dengan sedikit penempelan warna merah di tengah rimnya. Seperkara menarik, sekiranya anda perasan tentang nombor 62 yang tertera pada jentera ini, ia adalah sebagai memperingati model yang diperkenalkan pada 1962 dahulu, iaitu sebagai model yang menjadi pemangkin kepada penghasilan model Ducati Scrambler.

PENUNGGANGAN

Model Full Throttle didatangkan dengan tangki 13.5 liter yang saya rasakan ia lebih kepada ingin melihatkan motor ini lebih ‘kurus’ secara keseluruhan. Alangkah baik sekiranya ia dalam lingkungan 15-17 liter bagi membolehkan penunggang lebih lama menunggang daripada asyik terpaksa menjeling baki paras bahan api pada meter.

Sudah tentu saya tak akan menunggang uji motosikal ini dalam kawasan “off-road”, namun saya banyak menunggangnya dalam laluan-laluan lama, jalan-jalan kebun, serta yang menjadi kegemaran saya laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan dari Batu 3 Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.

Bagi mana-mana penunggang motosikal di ibu kota, laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan ini mempunyai selekoh-selekoh yang pelbagai, permukaan yang beralun-alun, bertampal-tampal, sempit, malah mempunyai keadaan turun naik bukit dan terowong-terowong sempit. Saya gemar memilih laluan ini kerana ingin menguji pengendalian Ducati Scrambler dalam kelajuan yang sederhana tinggi, tetapi harus boleh mengendali arah dengan baik dalam lorong sempit, tidak rata serta pelbagai bentuk permukaan dan kecerunan.

Ducati Full Thorttle bertindak dengan cemerlang menyerap hentakan-hentakan jalan raya dan kebolehan ia mengikut arah tuju yang saya pacu dengan tepat dan jitu sangat-sangat mengujakan. Selain sistem suspensi Kayaba jenis terbalik di hadapan dan suspensi tunggal yang telah diubah kedudukannya berbanding model 2015 dahulu (juga jenis Kayaba), sistem brek daripada Brembo ternyata cukup mencengkam sama ada di depan atau belakang.

Ulasan mengenai penunggangan ini harus saya ketengahkan tentang kemudahan menukar gear yang terdapat pada model Full Throttle. Sistem Quick Shifter membolehkan penunggangan agresif dengan proses menukar 6 kedudukan gear boleh dilakukan dengan cepat tanpa perlu menarik tuas klac. Sistem bantuan penunggangan elektroniknya juga bertindak cemerlang terutama sistem “throttle-by-wire” yang mana tahap pendikit sebenarnya tidak dipacu dengan kabel tetapi lebih kepada sensor elektronik. Ini menyebabkan penunggang tidak rasa tersentap dalam pulasan ekstrim pendikit atau ketika penunggangan perlahan pada gear yang tinggi. Tidak lupa juga sistem mode kecekapan enjin yang boleh diubah sama ada untuk versi sport, jalan raya atau penunggangan dalam hujan.

KESIMPULAN

Sukar untuk saya cari sesuatu yang tidak baik pada motosikal ini. Kalau pun perlu saya uraikan, ialah ketinggian pelana duduk dengan pemijak kaki yang agak dekat (jarak kedudukan pelananya agak rendah dengan muka bumi). Seseorang yang mempunyai ketinggian seperti saya (183cm) bakal dilihat menunggang dengan kaki yang terlipat. Mungkin Ducati Malaysia ada opsyen untuk meninggikan sedikit bahagian pelana belakang sama ada dengan sedikit pengubahsuaian pada “monoshock”.

Harganya iaitu RM69,900 sebelum kos cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran dilihat sebagai agak kompetitif untuk sebuah motosikal berkapasiti 800cc.

Ducati Scrambler Full Throttle, dalam kelasnya yang tersendiri, prestasi dan imejnya yang turut dicemburui. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/ringgi ... an-retro-dan-lasak/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-11-2024 03:21 PM GMT+8 , Processed in 0.062252 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list