CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17179|Reply: 0

[Pulau Pinang] 3 wakil NSTP ungguli Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang 2023

  [Copy link]
Post time 8-12-2023 12:44 AM | Show all posts |Read mode
3 wakil NSTP ungguli Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang 2023

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Disember 7, 2023 @ 10:49pm  bhnews@bh.com.my





Muhammad Mikail (kiri), Audrey (dua dari kiri) dan Siti Aminah (kanan) bergambar bersama Kon Yeow selepas penyampaian hadiah sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang 2023. - NSTP




GEORGETOWN: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) merangkul tiga anugerah pada Majlis Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang 2023 di sini, malam ini.

NSTP muncul agensi media paling banyak memenangi anugerah bertema Simfoni Kelestarian edisi ke-10 berkenaan, sekali gus mengungguli dua kategori utama dipertandingkan tahun ini.

Ketua Biro NSTP Pulau Pinang, Audrey Mellani Dermawan dinobat pemenang Anugerah Penulisan Rencana Cemerlang Bahasa Inggeris menerusi tiga siri artikel berjudul 'Underwater in 10 years', 'Climate change adaptation: States dragging their feet', dan 'Signs of Climate Change'.

Beliau yang bertugas sebagai wartawan akhbar New Straits Times sejak 2001 memenangi anugerah sama sejak 2019.

Sementara itu, artikel 'Pulau Mutiara mesra basikal' dan 'Setiap hari berkayuh lebih 30km cari rezeki' nukilan Siti Aminah Mohd Yusof yang disiarkan menerusi Berita Harian pada 10 Julai 2022 memenangi Anugerah Penulisan Rencana Cemerlang Bahasa Melayu.

Jurugambar NSTP, Muhammad Mikail Ong Abdullah pula meraih tempat kedua Anugerah Foto Kewartawanan melalui artikel berjudul 'Pulau Mutiara mesra basikal'.

Audrey dan Siti Aminah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, manakala Muhammad Mikail memperoleh RM1,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Terdahulu, Kon Yeow berkata, penyampaian anugerah bagi kategori Pensijilan Pejabat Hijau Pulau Pinang, Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang dan Insentif Hijau Pulau Pinang adalah pengiktirafan kerajaan negeri terhadap segala usaha dicurahkan untuk kesejahteraan bumi.

"Pemenang memperlihatkan komitmen kukuh dalam mengambil langkah proaktif demi memastikan kesejahteraan alam sekitar terjamin dan kita seharusnya menjadikan mereka contoh teladan kepada perubahan alam sekitar.

"Pensijilan diberikan kepada 40 pejabat tahun ini merangkumi sektor awam dan swasta yang menerapkan amalan mesra alam sekitar terpuji termasuk mengiktiraf usaha kitar semula dan inisiatif penjimatan tenaga.

"Selain itu, tujuh pemenang memperjuangkan isu alam sekitar melalui bidang kewartawanan dah fotografi turut diraikan di atas karya mereka yang sangat memberi impak kepada pembaca," katanya.

Pengurus Besar, Majlis Pulau Pinang Hijau, Josephine Tan Mei Ling, berkata pihaknya menerima 31 penyertaan dan buat julung kalinya memperkenalkan kategori Anugerah Kewartawanan Muda tahun ini.

"Kami berharap rakan wartawan kami dapat meneroka isu alam sekitar dan menghasilkan artikel berkaitan alam semula jadi dan alam sekitar lestari di Pulau Pinang, sekali gus menggalakkan mereka lebih prihatin terhadap perubahan iklim dan penyesuaian masalah berhubung isu berkenaan.

"Sumbangan mereka turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran, tindakan yang memberi inspirasi dalam bentuk wacana mengenai cabaran dan penyelesaian alam sekitar," katanya.






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-5-2024 10:31 AM GMT+8 , Processed in 0.072331 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list