Honda CR-V Serba Baharu kini di pasaran, harga bermula dari RM159,900
Kuala Lumpur: Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 1,000 unit sebulan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V Serba Baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan hari ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata sejak tempahan dibuka pada November lalu sebanyak 2,000 tempahan sudah diterima setakat ini.
"Untuk tiga suku pertama 2023, jualan CR-V mengalami pertumbuhan sebanyak 10 peratus jika dibandingkan tempoh sama pada tahun 2022.
"Bagi meneruskan kesinambungan sebagai SUV bukan nasional pilihan pelanggan di negara ini, CR-V Serba Baharu generasi keenam dilancarkan dengan pelbagai ciri terbaharu dan tampil lebih elegan," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum.
Menurutnya, Honda Malaysia varian V disasarkan sebagai varian paling laris dan tempoh menunggu untuk tempahan CR-V Serba Baharu ini sekitar dua hingga tiga bulan.
Selain rekaan luaran dan dalaman baharu CR-V Serba Baharu ini juga pertama kali ditawarkan dengan enjin hibrid generasi baharu menerusi 2.0L e:HEV RS 2WD yang juga varian tertinggi selain 1.5L S 2WD, 1.5L E 2WD, 1.5L V AWD dengan enjin Turbo VTEC.
Ia juga didatangkan dengan pertambahan dimensi lebar dan tinggi serta lebih panjang 40 milimeter (mm) pada jarak roda dan 68 mm bagi panjang keseluruhan.
Antara ciri-ciri terbaharu lain yang diperkenalkan dalam CR-V Serba Baharu ialah Sistem Audio Premium Bose dengan 12 pembesar suara, paparan pandu (HUD), dan Kad Kunci Pintar.
Untuk pasaran Malaysia Honda CR-V Serba Baharu ditawarkan pada harga RM159,900 (S), RM169,900 (E) dan RM181,900 (V) dan harga varian e:HEV RS akan diumumkan tidak lama lagi dan akan mula berada di pasaran pada Januari 2024.
Sempena ulang tahun ke-75 Honda dan 20 tahun pengeluaran tempatan (CKD) model CR-V di Malaysia, varian S akan dijual pada harga RM157,900 untuk 750 unit sahaja
Untuk rekod Honda CR-V generasi kelima terjual lebih 64,000 unit sejak diperkenalkan pada 2016.