CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5278|Reply: 2

[Tempatan] Vape/e-Rokok bukan sekadar wap air, merbahayakan paru-paru

[Copy link]
Post time 15-12-2023 10:08 AM | Show all posts |Read mode
Edited by JoyahMengayah at 15-12-2023 02:52 PM

PENGGUNAAN e-rokok mungkin alternatif lebih baik dan selamat bagi seseorang cuba berhenti menghisap produk tembakau biasa, namun mereka perlu mengetahui risiko e-rokok sebelum mencubanya.

Selain itu, tambah membimbangkan, apabila kanak-kanak dan remaja juga nampaknya ada yang menggunakan e-rokok ini.

Kesannya, kanak-kanak dan remaja yang menggunakan e-rokok berisiko menghidap penyakit darah tinggi, serangan jantung dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan otak.

Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad, berkata ketagihan nikotin juga meningkatkan risiko untuk mereka bertukar kepada rokok tembakau pada masa hadapan.

"Ramai beranggapan cecair nikotin yang dimasukkan dalam peranti e-rokok sebagai selamat dan persepsi ini menular dalam golongan orang dewasa serta kanak-kanak dan remaja.

"Nikotin yang akan menyebabkan ketagihan dan memberi kesan kepada sistem imuniti, jantung, salur darah, sistem reproduktif, buah pinggang dan otak manusia," katanya.

Bahan kimia lain yang turut dimasukkan ke dalam cecair e-rokok adalah propylene glycol, glycerine dan perisa tambahan.

Manakala terdapat juga campuran lain seperti acetaldehyde, formaldehyde, vitamin E acetate, acrolein, dan logam yang boleh memudaratkan kesihatan.

"Bukti klinikal menunjukkan bahan kimia dalam e-rokok seperti vitamin E acetate boleh membawa kepada kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai EVALI iaitu singkatan kepada e-cigarette or vaping use-associated lung injury.

"Pesakit yang mengalami EVALI akan mengalami demam, batuk, sakit dada, kesukaran bernafas, paras oksigen dalam badan yang rendah yang juga boleh membawa kepada kematian," katanya.

Menyebabkan organ gagal berfungsi

Tambah beliau, terdapat juga kes yang dilaporkan menunjukkan e-rokok boleh menyebabkan pneumotorak iaitu udara berada dalam ruang pleura atau kantung luar paru-paru yang menyebabkan organ itu gagal berfungsi.

"Pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan rapi termasuklah rawatan menggunakan alat bantuan pernafasan dan oksigen," katanya.

Disebabkan rokok elektronik ini masih baharu, kesannya pada paru-paru bagi jangka masa panjang masih belum diketahui.

"Namun terdapat kes yang mengaitkan e-rokok dan penyakit asma serta penyakit paru-paru kronik," katanya.

Selain itu, Dr Noor Azimah berkata, dalam jangka masa panjang, kos rawatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan seperti ketagihan nikotin (dan dadah berbahaya), kecederaan paru-paru dan masalah perubatan yang lain akan meningkat.

"Kanak-kanak dan remaja Malaysia perlu dilindungi serta tidak didedahkan dengan perkara yang boleh memudaratkan tahap kesihatan, menjejaskan pencapaian akademik dan masa hadapan mereka.

"Penggunaan e-rokok jika dibiarkan terus berleluasa boleh membawa kerugian yang besar kepada negara," katanya.

Tak wajar dipromosi sebagai gaya hidup

Beliau juga mengulas e-rokok tidak seharusnya dilihat sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Malaysia.

"Perokok elektronik muda tidak wajar mempromosikan gaya hidup seperti ini yang dilihat bebas merokok di mana sahaja, mencemarkan udara yang mungkin boleh juga membahayakan kesihatan orang lain di sekeliling.

"Sebahagian mereka pula berasa bangga menghembuskan asap dari rokok elektronik semasa siaran langsung (live) di media sosial," katanya.

Hentikan jualan e-Rokok kepada kanak-kanak dan remaja

Beliau juga menjelaskan tujuan awal e-rokok adalah untuk membantu perokok berhenti merokok dan bukannya untuk kegunaan masyarakat umum yang tidak pernah merokok.

"E-rokok perlu dikhususkan kepada perokok yang ingin berhenti dan terhad kepada orang dewasa sahaja. E-rokok bukan untuk mereka yang tidak pernah merokok.

"Selain itu, rokok elektronik juga sewajarnya tidak berperisa dan tidak disediakan berwarna-warni yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan remaja disebabkan rasa buah-buahan atau manisan yang enak," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan cukai yang tinggi dan kawalan harga harus dikenakan kepada rokok elektronik seperti yang dikenakan pada rokok tembakau.

"Denda kepada penjual dan pengedar perlu dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengedarkan kepada kanak-kanak dan remaja di bawah umur.

"Penjualan e-rokok perlu dihadkan kepada individu yang bertauliah seperti ahli farmasi di farmasi berdaftar," tambah beliau.

Kemajuan teknologi juga telah memudahkan kanak-kanak dan remaja terutamanya mereka yang mempunyai akses kepada sistem perbankan dalam talian untuk membuat pembelian sendiri.

Penggunaan e-rokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meruncing dengan adanya e-rokok pakai buang yang murah dan tanpa kawalan di pasaran.

"Sepatutnya, penjualan dalam talian perlu disekat bagi mengekang penjualan e-rokok kepada kanak-kanak dan remaja," katanya.

Beliau juga mencadangkan kawasan larangan merokok termasuk rokok elektronik perlu diperluaskan lagi.

"Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terutamanya Generasi Penamat Rokok (GEG) perlu disokong dan dilihat sebagai suatu usaha yang baik untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dan remaja Malaysia," katanya.

-Berita Harian

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-12-2023 10:53 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 15-12-2023 10:49 PM | Show all posts

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 05:55 PM GMT+8 , Processed in 0.389223 second(s), 35 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list