Edited by JoyahMengayah at 30-12-2023 05:47 AM
PETALING JAYA: Gerakan yang menggalakkan pemboikotan perkara-perkara yang dikaitkan dengan Israel memaklumkan bahawa McDonald’s Malaysia memfailkan saman terhadapnya.
BDS Malaysia berkata ia baru-baru ini terima writ saman menuduh gerakan itu memfitnah francais makanan segera itu.
“Mereka dakwa perniagaan mereka terjejas sejak kebelakangan ini dan menyalahkan kami. Kami menafikan secara mutlak. Oleh itu keputusan kami ialah biar mahkamah putuskan perkara ini,” kata BDS Malaysia di X (dahulunya Twitter).
Gerakan itu berkata ia telah mendapatkan khidmat sebuah firma guaman dan akan mengeluarkan satu kenyataan yang lebih terperinci selepas menerima nasihat peguam.
BDS Malaysia entiti bebas terdiri daripada badan bukan kerajaan, kumpulan, dan individu yang mempromosikan kebebasan, keadilan, dan kesaksamaan terhadap Palestin menerusi boikot, lupus, dan sekat.
Sejak Israel melancarkan pembantaian di Semenanjung Gaza, rakyat Malaysia menyeru pemboikotan beberapa francais.
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan rakyat bahawa McDonald’s Malaysia sudah menegaskan mereka tidak memberi sebarang sumbangan kepada Israel.
Beliau menasihatkan tindakan boikot mesti berdasarkan bukti jelas dan meyakinkan, bukan sekadar sangkaan atau andaian.
Sementara itu, McDonald’s Malaysia mengesahkan ia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia untuk melindungi hak dan kepentingannya.
McDonald’s Malaysia menegaskan ia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti, atau fi francais daripada operasi restoran untuk menyokong mana-mana perjuangan politik atau konflik.
“Walaupun kami memahami dan menghormati tindakan boikot adalah keputusan individu, kami percaya ia harus berdasarkan fakta yang benar dan bukan dakwaan palsu,” katanya dalam kenyataan.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/12/29/mcdonalds-mahu-saman-kata-bds-malaysia/
|