|
ANTARA Pati yang ditahan dalam serbuan di Pangsapuri Seri Cempaka, Rawang, Selangor, tengah malam tadi. FOTO Ihsan JIM
Kuala Lumpur: Seramai 106 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi di Pangsapuri Seri Cempaka, Rawang, Selangor, tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha berkata, operasi itu dijalankan jam 12.30 tengah malam tadi dengan kekuatan 309 pegawai dan anggota Imigresen dibantu 22 pegawai serta anggota daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Serbuan itu dilakukan susulan aduan orang awam berhubung kewujudan Pati disyaki tinggal di kawasan perumahan terbabit tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Dalam operasi ini, seramai 468 orang diperiksa dengan 106 daripadanya berusia enam bulan hingga 49 tahun dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Lokasi serbuan yang berada di luar bandar itu agak mencabar kerana laluan masuk kawasan perumahan terhalang dengan kenderaan diparkir secara tidak teratur sekali gus menyukarkan kenderaan operasi untuk masuk, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jafri berkata, terdapat lapan blok lima tingkat bangunan pangsapuri kos rendah terdiri daripada 80 sehingga 100 unit rumah bagi setiap blok di kawasan itu.
"Antara individu yang diperiksa adalah 174 lelaki, 79 perempuan, 27 kanak-kanak lelaki, 20 kanak-kanak perempuan dan selebihnya adalah warga tempatan.
"Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Semua tahanan itu ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ur-106-pati-ditahan |
|