CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16403|Reply: 0

Speedy Tigers kena pandang ke Eropah

[Copy link]
Post time 21-1-2024 01:09 PM | Show all posts |Read mode

Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki skuad hoki kebangsaan jika mahu layak ke Olimpik Los Angeles 2028. - Foto ihsan FIH

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara perlu menerapkan dasar pandang ke Eropah dalam usaha untuk tampil lebih berdaya saing bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Ketika sukan itu kini didominasi pasukan dari Eropah, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mencari jalan untuk sekurang-kurangnya menyamai standard dengan lawan dari benua itu.

Bekas pemain dan kapten skuad kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berkata skuad Speedy Tigers perlu didedahkan dengan corak permainan hoki moden seperti yang diterapkan oleh kebanyakan gergasi dunia dari Eropah ketika ini.

Katanya, Malaysia sememangnya belum layak untuk beraksi di Sukan Olimpik dengan pasukan yang ada ketika ini kerana jauh ketinggalan berbanding pasukan Eropah ditambah pula skuad negara bergelut untuk menewaskan pasukan seperti Pakistan dan China.



"Kita kena ubah bagaimana kita boleh bermain seperti pasukan Eropah kerana mereka yang mendominasi sukan ini sekarang. Kita perlu cari jalan untuk sekurang-kurangnya menyamai standard mereka atau buat lebih baik lagi.

"Kita kena kaji apa yang mereka buat, apa perubahan drastik yang mereka lakukan, kalau kita perlu hantar pasukan untuk duduk sana atau bawa orang dari Eropah ke sini untuk ajar kita, kita perlu lakukan.

"Jika kita tidak buat seperti yang mereka lakukan, pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik seterusnya kita mungkin lebih teruk lagi," kata Nur Saiful kepada BH Sukan.

Menurut Nur Saiful yang pernah beraksi sebanyak tiga kali di pentas Olimpik iaitu pada edisi Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000, salah satu cara untuk merapatkan jurang dengan pasukan dari Eropah adalah dengan cuba untuk menghantar pasukan kebangsaan beraksi di benua berkenaan.

"Mereka boleh cuba bersaing dalam Liga Pro-Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia.

"Jika kita boleh hantar pasukan beraksi dalam Liga Pro ini, sudah tentu ia adalah langkah yang baik kerana memberi peluang kepada pemain untuk menerima pendedahan.

"Apabila kita bermain kejohanan sebenar seperti pusingan kelayakan Olimpik, kita sudah tahu cara untuk bermain dengan pasukan-pasukan gergasi ini. Kita sudah tahu kekuatan dan kelemahan mereka, ini sesuatu yang sangat baik.

"Namun, kita pun sedar yang untuk bermain di sana memerlukan kos yang tinggi. Semua ini terpulang kepada kebijaksanaan KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) untuk menentukan, jika dapat dipertimbangkan atau boleh hantar pasukan, saya percaya ia akan memberi manfaat kepada pasukan kita," katanya.

Dalam pada itu, Nur Saiful berpandangan skuad negara perlu dirombak bagi membolehkan Malaysia mempunyai pasukan yang lebih segar dan berdaya saing.

Jelasnya, langkah itu perlu dilakukan kerana jika beberapa barisan pemain sedia ada dikekalkan, maka tidak ada sebarang perubahan dalam tempoh empat tahun daripada sekarang terutama bagi memburu tiket layak beraksi di Los Angeles.

"Jadi untuk tempoh empat tahun daripada sekarang, anda kena rancang siapa pemain yang masih boleh bermain serta yang tak boleh bermain lagi. Bagi saya, siapa pemain yang sudah berusia perlu dikeluarkan daripada pasukan.

"Anda perlu ketepikan pemain dan ambil pemain baharu untuk rombak pasukan," jelasnya.

Bekas pengendali skuad remaja kebangsaan itu berkata KHM juga perlu mempunyai formula baharu dalam memperkasakan pembangunan di peringkat akar umbi agar program dijalankan seiring dengan pendekatan permainan hoki moden.

Skuad Speedy Tigers gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan A pusingan kelayakan di Muscat, Oman sekali gus tidak berjaya mara ke separuh akhir.

Malaysia perlu sekurang-kurangnya mengakhiri kempen kelayakan di tempat ketiga untuk mengesahkan tiket ke Paris.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk menamatkan penantian selama 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2000 di Sydney, Australia.
https://www.bharian.com.my/sukan ... a-pandang-ke-eropah
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 10:04 AM GMT+8 , Processed in 0.055322 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list