CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4452|Reply: 0

[Kedah] Air tiada di Taman Gurun Jaya!

[Copy link]
Post time 26-2-2024 09:38 AM | Show all posts |Read mode

PENDUDUK Taman Gurun Jaya membawa baldi dan tong untuk menadah air dari lori di depan rumah masing-masing. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN

Gurun: Ketika orang lain sedang nyenyak tidur, kira-kira 4,000 penduduk di Taman Gurun Jaya di sini terpaksa bersengkang mata menadah air untuk menyimpan bekalan air bersih.

Rutin itu sudah dilakukan mereka sejak dua bulan lalu disebabkan gangguan bekalan yang meruncing.

Penduduk, Normah Ismail, 56, berkata, mereka perlu berjaga malam semata-mata untuk menyimpan air yang disalur menerusi paip rumah masing-masing selepas jam 2 pagi.

Katanya, bekalan itu biasanya akan terputus jam 6 pagi dan rata-rata mereka terpaksa membeli pam dan tangki air tambahan untuk menyimpan air.


"Saya habiskan ribuan ringgit untuk beli empat tangki tambahan termasuk yang bersaiz besar untuk memastikan kami dapat simpan air. Setiap malam kami seperti burung hantu, kemaruk air. Apabila bekalan air tiba, saya cepat-cepat tadah, cuci baju dan sebagainya, lepas itu saya mandi dan bersiap untuk pergi kerja pula, kami di sini tidak tidur seperti orang lain," katanya.

Normah berkata, keadaan tidur yang tidak menentu itu menyebabkan mereka sangat tertekan dan ada penduduk yang mudah jatuh sakit.

Menurut seorang lagi penduduk, Mokhtar Ramli, 55, ketika menganjurkan majlis perkahwinan anaknya, dia terpaksa meminta bantuan jiran untuk menyimpan air.

"Mujur jiran di sini sangat baik dan mereka sanggup membantu. Saya juga menghubungi Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk minta hantar air dengan lori. Jika ikutkan, kami hanya gunakan air ini untuk mandi dan membuang 'hajat' saja. Masak dan sebagainya kami beli di luar. Tapi untuk keluarkan belanja besar sewa dewan dan bayar katering ketika nak buat kenduri, saya tak mampu...jadi terpaksa buat juga kenduri di rumah," katanya.

Normatun Bakridun, 61, pula berkata, anak dan cucunya tidak dapat tinggal lama di rumahnya ketika cuti sekolah kerana masalah air.

Katanya, sejak menetap di situ pada 2015, gangguan bekalan air sering berlaku dan dia menganggap situasi kali ini adalah yang terburuk.

"Rasa sebak nak beritahu anak-anak di rumah tak ada air. Bukan niat kita nak halau mereka, saya pun kasihan mereka pulang jauh tapi tak dapat bersama dengan ibu bapa dalam tempoh yang lama," katanya.

Ahmad Lutfi Romly, 65, yang tujuh tahun menetap di situ memaklumkan, sudah banyak aduan dikemuka kepada pihak berkuasa namun jawapan sama diterima mereka iaitu tekanan air rendah.

Katanya, apabila musim hujan, gangguan air tetap berlaku dan Sada memaklumkan mereka terpaksa menghentikan bekalan air kerana air berkeladak.

"Penduduk di taman ini seolah-olah dipinggirkan apabila menjadi lokasi terakhir menerima bekalan air, sedangkan taman ini wujud lebih awal berbanding kawasan perumahan lain.

"Kawasan rumah kami agak tinggi kerana berdekatan dengan kaki Gunung Jerai, tapi kami yang terakhir dapat air, hinggakan apabila kami nampak lori air, kami akan terkejar-kejar lori berkenaan," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... di-taman-gurun-jaya

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 12:11 AM GMT+8 , Processed in 0.059451 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list