CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7483|Reply: 0

[Johor] Mangsa Sungai Kim Kim masih trauma

[Copy link]
Post time 7-3-2024 10:43 AM | Show all posts |Read mode

Nur Satria menunjukkan sisa pencemaran yang melekat pada gabus yang digunakan sebagai penahan bot ketika tragedi. - NSTP/Omar Ahmad

PASIR GUDANG: Penduduk Kampung Bukit Pulai, berhampiran Sungai Kim Kim, di sini, masih dihantui trauma walaupun sudah genap lima tahun tragedi sisa toksik Sungai Kim Kim berlaku.

Ini berikutan penduduk mendakwa masih berlaku lagi pencemaran kimia yang mengeluarkan bau seumpama tragedi berkenaan berlaku beberapa kali tahun lalu dan awal tahun ini.

Nur Satria Rabu, 37, yang kediaman keluarganya terletak hanya 20 meter daripada Sungai Kim Kim mendakwa, kejadian terbaharu pencemaran kimia berlaku pada pertengahan Januari lalu ketika waktu hujan, menjelang malam.

Katanya, beliau yang berada di rumah terkejut apabila tiba-tiba terbau bau busuk seakan-akan sama tragedi sisa toksik yang berlaku pada 7 Mac 2019.


"Bau busuknya ketika itu seakan bau minyak pekat seperti tragedi sisa toksik 2019 menyebabkan saya keluar untuk melihat keadaan air Sungai Kim Kim.

"Ketika itu air Sungai Kim Kim bertukar kehitaman dengan bau busuk menyengat menyebabkan saya dan penduduk kampung lain terkejut. Ini membuatkan kami trauma kerana teringat tragedi sisa toksik lima tahun lalu.

"Penduduk sempat menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memaklumkan kejadian itu. Air sungai bertukar warna kehitaman dan berbau busuk selama kira-kira satu jam sebelum ia hilang dibawa arus.

"Bagaimanapun anggota JAS sempat mengambil sampel air hitam berbau busuk itu. Sebenarnya tahun lalu, hampir lima kali juga kejadian air sungai bertukar hitam dan berbau busuk seperti tragedi Sungai Kim Kim pada 2019, namun hanya bertahan antara 40 minit hingga sejam sebelum dibawa arus," katanya ketika ditemui.

Sungai semakin cetek

Terdahulu Nur Satria menunjukkan keadaan Sungai Kim Kim yang kini semakin cetek dengan sampah sarap yang dibuang dilihat terlekat di tebing sungai berkenaan.

Walaupun air sungai berkenaan dianggap normal dan berwarna seperti teh susu, namun dapat dilihat kesan tompokan minyak di permukaan.

Kontraktor dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilihat melakukan kerja tambakan untuk mengukuhkan tebing sungai berkenaan.

Tragedi sisa toksik Sungai Kim Kim yang berlaku pada 7 hingga 20 Mac 2019 membabitkan seramai 5,039 mangsa dengan 1,228 terpaksa dirujuk ke hospital dan 26 daripadanya dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Seorang mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, kini disahkan menderita Myokymia, yang bukan sahaja tiada ubat, malah penyakit yang tidak pernah direkodkan di negara ini.

Sebahagian mangsa tragedi sisa toksik Sungai Kim Kim termasuk Irfan Wafiy menyaman menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada 12 defendan termasuk Kerajaan Malaysia, Kerajaan Johor dan Menteri Besar dalam prosiding saman sivil yang bermula 22 Januari lalu dan disambung perbicaraan pada Jun, Ogos dan Oktober, tahun ini.

Pada 30 November tahun lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019

Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Dalam pada itu, Nur Satria berkata penduduk kampung berkenaan dapat mengenal pasti jenis pencemaran Sungai Kim Kim selepas lima tahun berhadapan tragedi itu.

Katanya, jika pencemaran kimia atau toksik berlaku di Sungai Kim Kim, air sungai akan bertukar warna kehitaman dengan bau busuk 'menyengat' seperti bau minyak pekat yang membuatkan pernafasan penduduk terganggu seketika.

"Namun ada juga pencemaran yang disebabkan lepasan air kumbahan dengan air sungai akan bertukar warna kehijauan dengan bau busuk najis.

"Kedua-dua jenis pencemaran ini akan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab selalunya ketika waktu hujan supaya bahan yang dibuang itu hanyut segera ke muara Sungai Kim Kim dan laut.

"Apa yang membimbangkan penduduk pihak tidak bertanggungjawab sering membuang bahan terlarang di sungai pada waktu malam bagi mengaburi mata penduduk dan pihak berkuasa.

"Ini seperti tragedi sisa toksik Sungai Kim Kim juga, kerana bahan kimia dibuang ke sungai pada waktu malam ketika penduduk tidur sekali gus ia menyebabkan kami trauma kejadian sama akan berulang jika jumlah bahan kimia yang dibuang itu banyak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... im-kim-masih-trauma

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

3-5-2024 12:54 AM GMT+8 , Processed in 0.048404 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list