CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7233|Reply: 0

[Kedah] Kutip telur buaya dalam taman buaya bukan kerja mudah

[Copy link]
Post time 10-3-2024 12:25 PM | Show all posts |Read mode

Kakitangan Taman Buaya Langkawi, Azni Nabiela Amirashidi (kiri) dan Nurul Aqilah Abdul Kadir menunjukkan telur buaya yang dikutip di sarang semula jadi berhampiran kolam takungan di taman itu. NSTP/Hamzah Osman

LANGKAWI: Alah bisa, tegal biasa. Itulah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan keadaan dua kakitangan Taman Buaya Langkawi (TBL) di sini, yang sudah lali bertugas mengutip telur buaya di taman itu untuk dibiakkan.

Menjadi rutin bagi Azni Nabiela Amirashidi bersama rakannya, Nurul Aqilah Abdul Kadir dan dibantu Penjaga Buaya, Shamshuria Yahya mencari dan mengutip telur reptilia pemangsa itu mulai Mac hingga April setiap tahun.

Bagi Azni Nabiela, pengalaman dan gerak hati membolehkannya cepat menemui sarang buaya yang selalunya ditimbus daun kering bercampur tanah yang digali induknya berhampiran enam kolam kurungan di taman itu.

"Jika buaya betina ingin bertelur, ia akan gali tanah terlebih dahulu untuk membuat sarang kemudian bertelur dan timbus. Selalunya saya dan Nurul Aqilah ditugaskan mengutip telur reptilia itu.

"Seekor buaya betina biasanya mengeluarkan antara 30 hingga 40 telur dan telur ini perlu dibasuh sebelum dimasukkan ke dalam inkubator untuk pengeraman dan ditetaskan," katanya ketika ditemui di TBL di sini, hari ini.

Senada dengan rakannya, Nurul Aqilah berkata, dia juga sudah lali dengan tugas mencabar itu tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh waspada kerana sekelip mata boleh berdepan risiko serangan buaya betina yang ganas.

"Kerja mengutip telur buaya perlu fokus dan peka dengan keadaan sekitar kerana saat bertelur, buaya betina akan berubah menjadi sangat ganas dan ia akan menyerang siapa saja yang mendekati sarang telurnya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, setiap kali melakukan kerja mengutip telur buaya ini, kami diawasi oleh rakan setugas, Shamshuria yang berpengalaman menjaga reptilia itu di taman ini sejak 20 tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pembantu Penyelidik TBL, Farah Nor Adila Saiful Zaman, berkata secara purata pihaknya menemui 100 sarang dan 1,500 telur buaya di sekitar tebing kolam di taman itu setiap tahun.

"Semua telur buaya yang ditemui akan kami kumpulkan dan masukkan ke dalam inkubator bagi proses pengeraman hingga menetas kerana ia lebih mudah bagi kami mengumpul data dan mengawal populasi buaya di taman ini.

"Disebabkan beberapa faktor termasuk fungus akibat perubahan cuaca yang tidak menentu, selalunya kadar penetasan yang berjaya kami hasilkan adalah sekitar 10 peratus dan bagi kami ia masih rendah," katanya.

Farah Nor Adila berkata, pengunjung yang datang awal pagi berpeluang menimba pengalaman melihat kakitangan mencari dan mengutip telur buaya dari jambatan yang merentangi kolam takungan buaya di taman berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berit ... a-bukan-kerja-mudah

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-5-2024 06:48 AM GMT+8 , Processed in 0.069668 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list