CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6374|Reply: 1

[Tempatan] Ahli Parlimen usah berbahasa Inggeris hanya untuk tunjuk hebat, intelektual tinggi

[Copy link]
Post time 20-3-2024 02:32 PM | Show all posts |Read mode
Ahli Parlimen usah berbahasa Inggeris hanya untuk tunjuk hebat, intelektual tinggi

https://www.bharian.com.my/renca ... -untuk-tunjuk-hebat

Oleh Dr Mohamad Saleeh Rahamad - Mac 20, 2024 @ 11:05am
bhrencana@bh.com.my



ADA dua perkara sering dilanggar ahli Dewan Rakyat dalam persidangan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan larangan penggunaan ungkapan kurang sopan serta bersifat seksis.

Ini menyebabkan Dewan Rakyat tidak ubah kadangkala seperti pasar, malah ibarat kelas budak nakal sukar dikawal peraturan, sekali gus menghilangkan penghormatan masyarakat terhadap mereka.

Jika dahulu hal sedemikian tersembunyi lantaran ketiadaan rakaman atau siaran langsung, kini masyarakat sudah dapat menyaksikan segala-galanya.

Dewan Rakyat sepatutnya berperanan sebagai entiti legislatif, membuat undang-undang dan akta, malangnya mereka menduduki kerusi mulia itu tanpa segan silu melanggar peraturan sedia dimaklumi.

Menurut peraturan Dewan Rakyat, penggunaan bahasa Melayu dalam sidang ialah suatu kewajipan atau hak, bukannya suatu keistimewaan, manakala bahasa Inggeris hanya boleh digunakan selepas mendapat perkenan Tuan Yang Dipertua.

Malangnya, ada Ahli Parlimen dengan sewenang-wenang dan bangga menggunakan bahasa Inggeris tanpa kebenaran, walaupun ada ketikanya mereka meminta izin selepas bercakap. Mereka hanya bersandar pada frasa 'dengan izin' selepas mengeluarkan bahasa Inggeris tanpa menunggu maklum balas daripada Yang Dipertua Dewan. Malah, kadangkala tonggak peneraju persidangan pun terkeluar bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris jelas menjadi senjata melengkapkan pesona seorang ahli Dewan bahawasanya mereka mempunyai nilai keintelektualan dan status sosial tinggi. Bahasa Inggeris menjadi tanda aras kehebatan seseorang tidak boleh ditinggalkan biarpun dengan hanya mengucapkan sebaris ayat.

Selain itu, penggunaan bahasa kurang sopan atau bersifat seksis menyalahi Peraturan Mesyuarat Perkara 36 (4) juga terlalu berleluasa hingga sukar dikawal. Bertempiklah Speaker atau Timbalannya untuk meredakan keadaan, tetapi maki hamun seperti tiada batasan lagi.

Dua kaedah elak langgar peraturan

Inilah masalah menghantui persidangan Dewan Rakyat sedangkan rakyat menyerahkan mandat kepada mereka untuk memberikan contoh dan teladan baik sebagai pemimpin menjaga tatatertib.

Sampai bilakah situasi sebegini mewarnai Dewan Rakyat? Atau memang perangai mereka seharusnya dikekalkan begitu bagi memberikan merit kepada seorang wakil rakyat berani? Jika keadaan itu mahu diredakan, apakah kaedahnya?

Dalam konteks ini ada dua kaedah dapat memastikan pelanggaran peraturan itu tidak berlaku, iaitu pertama, secara ideologikal atau pendidikan sahsiah, manakala kedua, penguatkuasaan peraturan dengan hukuman bersesuaian.

Bagi memastikan semua ahli Dewan Rakyat boleh berbahasa Melayu dengan betul dan baik, semua parti hendaklah menyaring calon pilihan raya dengan ketat bagi mengelakkan wujudnya Ahli Parlimen tidak pandai berbahasa Melayu.

Hal ini dapat dilakukan jika semua parti menyedari penting bahasa kebangsaan dikuasai wakil mereka. Jika tidak, kita akan terus menyaksikan persembahan sama seperti maksud peribahasa: sepuluh jong masuk ke pelabuhan, anjing tetap bercawat ekor.

Sekiranya semua ahli Dewan Rakyat itu sedia bijaksana menggunakan bahasa Melayu, tetapi tetap bersikap degil daripada mengikut peraturan, hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang mesti dikuatkuasakan sepenuhnya.

Namun, bukannya mudah bagi Yang Dipertua untuk menggantung atau mengusir ahli Dewan pada setiap masa kerana itu hanya mengurangkan perbahasan, bahkan mereka digantung memperoleh merit pula sebagai wakil rakyat berani.

Oleh itu, sistem denda dengan pemotongan elaun kehadiran mereka seperti turut disentuh dalam akhbar ini Ahad lalu, menjadi alternatif terbaik, walaupun tidak terlalu menjejaskan mereka.

Kaedah seterusnya menerusi pendidikan dan kursus kemahiran bahasa. Walaupun begitu, pendidikan berbahasa baik dan indah bukanlah mudah dilaksanakan kerana ahli Dewan Rakyat itu tidak mudah mengakui kelemahan, di samping sukar untuk memaksa mereka agar menjalani kurus bahasa kerana kekangan masing-masing.

Malaysia sudah mempunyai Perlembagaan dan peraturan untuk meneguhkan negara bangsa, tetapi penghormatan terhadap aspek itu semakin luntur, terutama dalam kalangan pemimpin politik sendiri. Sampai bilakah proses penurunan darjat bahasa kebangsaan akan berterusan?

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, UM yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-3-2024 09:43 AM | Show all posts
Yea, semak mak menengok deme show off. Ngkau kalau nak jadi pemimpin, jangan jadi ketam lar bangsat!
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 06:09 AM GMT+8 , Processed in 0.058244 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list